Pahang naikkan kadar bayaran sara hidup peserta RPSK kepada RM1,100

Pahang naikkan kadar bayaran sara hidup peserta RPSK kepada RM1,100

am@hmetro.com.my

Kuantan: Kerajaan Pahang bersetuju menaikkan kadar bayaran sara hidup bulanan kepada peserta Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) di empat rancangan penempatan daripada RM1,000 kepada RM1,100.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu membabitkan 563 peserta RPSK di Sungai Chalit, Raub; Merapoh, Peruang dan Jerkoh di Lipis.

Katanya, kenaikan itu adalah usaha kerajaan negeri untuk terus memberikan perhatian terhadap kebajikan dan keperluan sara hidup peserta RPSK, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos kehidupan semasa.

“Untuk makluman, kadar bayaran sara hidup ini tidak pernah disemak semula sejak 2013. Justeru, sudah tiba masanya kadar bayaran ini dinilai semula supaya lebih bersesuaian dengan keadaan dan keperluan semasa.

“Pelaksanaan kenaikan ini membabitkan tambahan implikasi kewangan RM675,600 setahun dan akan bermula Januari 2027,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Justeru, beliau berharap kenaikan itu dapat memberikan sedikit kelegaan kepada para peserta serta keluarga mereka dalam menguruskan perbelanjaan harian.

Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top