Dr Aini Ideris dinobat Tokoh Akademik Negara

Dr Aini Ideris dinobat Tokoh Akademik Negara

Klang: Bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Emeritus Datuk Dr Aini Ideris dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-17 hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sebuah hotel di sini.

Dr Aini, 73, turut membawa pulang piala, sijil dan wang tunai berjumlah RM200,000.

Antara sumbangan besar beliau dalam bidang perubatan avian, bioteknologi haiwan dan pembangunan vaksin ialah penghasilan vaksin penyakit Newcastle serta vaksin kultur tisu fowl pox yang menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau turut melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik menyandang jawatan Naib Canselor UPM bagi tempoh 2016 hingga 2020 serta pernah menerima Anugerah Akademik Negara 2010 bagi Kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk.

Dr Aini turut menerima Anugerah Merdeka 2026 bagi kategori Sumbangan Cemerlang kepada Sains, Teknologi dan Inovasi.

Edisi AAN kali ini turut mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan sembilan ahli akademik dari institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang.

Bagi kategori Anugerah Ahli Akademik Harapan, pengiktirafan diberikan kepada Profesor Dr Ong Wee Jun dari Universiti Xiamen Malaysia (XMUM) dan Profesor Madya Dr Serene Lock Sow Mun dari Universiti Teknologi PETRONAS.

Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk pula diraih Profesor Madya Dr Mohd Khairi Abu Husain dari Universiti Teknologi Malaysia manakala Anugerah Penerbitan Buku dirangkul oleh Dr Siti Noor Hafizah Mohamed Sharif dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Profesor Madya Dr Saipolbarin Ramli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris pula menerima Anugerah Pengajaran (Sastera dan Sains Sosial).

Penerima lain Profesor Madya Dr Jayanthi Arasan dari UPM (Anugerah Pengajaran – Sains Tulen), Dr Ooi Say Keat dari USM (Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal – Sains Sosial dan Sastera) dan Profesor Dr Yong Wai Fen dari XMUM (Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal – Sains).

Penerima Anugerah Ahli Akademik Harapan membawa pulang RM25,000 manakala bagi kategori lain masing-masing menerima wang tunai RM50,000 berserta trofi dan sijil.

Dalam pada itu, Zambry dalam ucapannya berkata majlis itu adalah penghormatan tertinggi negara kepada para ilmuwan, sarjana dan ahli akademia yang mengabdikan kehidupan kepada pengembangan ilmu, kemajuan masyarakat serta negara.

“Pengiktirafan ini bukan hanya penghargaan terhadap pencapaian lalu, tetapi amanah untuk terus meneroka ilmu, menghasilkan karya bermutu dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Kita mahu melahirkan sarjana yang bukan sekadar mencipta kecemerlangan untuk dirinya, tetapi membina kegemilangan bangsanya. Sarjana mampu menggapai di langit, namun tetap mengakar di bumi,” katanya.

AAN adalah program tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi yang dilaksanakan sejak 2002.

Pada tahun ini, AAN dikendalikan oleh Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama USM bersama dengan Universiti Tenaga Nasional selaku jawatankuasa dan urus setia program.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top