28 hospital utama rekod masa menunggu wad kurang lapan jam – Dr Dzulkefly

28 hospital utama rekod masa menunggu wad kurang lapan jam – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Sebanyak 28 daripada 39 hospital negeri dan pakar major di seluruh negara merekodkan purata masa menunggu kurang daripada lapan jam untuk kemasukan ke wad dari jabatan kecemasan setakat Jun tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian tersebut meningkat berbanding tahun 2025 yang mana hanya 55.26 peratus hospital terlibat mencatatkan purata masa menunggu katil kurang dari 480 minit.

“Manakala sejumlah 94 daripada 103 terdiri daripada hospital pakar minor dan hospital tanpa pakar mencatatkan purata masa menunggu katil kurang dari 240 minit atau empat jam.

“KKM melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu kesesakan fasiliti kesihatan awam khususnya di hospital utama,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH – Port Dickson) mengenai langkah kementerian bagi mengatasi kesesakan supaya pesakit tidak terus menunggu lama dan mendapat rawatan serta kemasukan wad segera.

Dalam pada itu, Dzulkefly menjelaskan, KKM telah melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan awam, termasuk memantau petunjuk masa menunggu.

Dalam jangka pendek, beliau menjelaskan, kementerian memperkenalkan inisiatif penyumberan luar pada tahun 2024 yang meliputi 14 perkhidmatan dan telah memberi manfaat kepada lebih 50,000 pesakit di 75 hospital KKM.

“Bagi jangka pendek dan sederhana, kementerian juga sedang memperkukuh pengurusan aliran pesakit melalui inisiatif Penjagaan Kesihatan Lean melibatkan penambahbaikan unit pengurusan katil, penyediaan ruang menunggu khusus untuk pesakit yang menunggu untuk dibenarkan pulang, serta penambahbaikan unit jagaan harian.

“Inisiatif hospital kluster dan jaringan perkhidmatan melalui perkongsian sumber kepakaran, peralatan dan kapasiti katil di antara hospital-hospital dalam kelompok geografi yang berdekatan.

“Selain itu pengukuhan peranan penjagaan primer dengan memperluaskan peranan klinik kesihatan bagi pengurusan kes stabil dan penyakit kronik,” jelasnya.

Scroll to Top