am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak RM7 bilion pelaburan berjaya direalisasikan menerusi pembangunan Lembah Teknologi Automotif Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim bagi tempoh 2018 hingga 2026, termasuk pelaburan daripada Geely.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, berkata antara pencapaian utama yang direalisasikan sepenuhnya ialah penaiktarafan kemudahan pembuatan PROTON di Tanjung Malim, termasuk pengembangan kapasiti dan keupayaan pengeluaran serta pengeluaran enjin dan transmisi baharu berteknologi terkini.
Katanya, pembangunan ladang solar berkapasiti 12 megawatt puncak (MWp) di dalam kawasan kilang PROTON turut menyokong kecekapan penggunaan tenaga bagi operasi pembuatan.
“Bagi tempoh 2025 hingga 2026, pembangunan dan penaiktarafan kemudahan industri turut merangkumi kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV), peningkatan keupayaan pengeluaran enjin, kemudahan metal stamping, pusat logistik dan gudang baharu serta makmal ujian penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Pembangunan ini berpotensi memperkukuh keupayaan pengeluaran, inovasi dan pemindahan teknologi, di samping menyediakan asas bagi pengembangan rantaian bekalan automotif tempatan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta penjelasan mengenai jumlah serta senarai terperinci projek yang sudah direalisasikan daripada komitmen pelaburan berjumlah AS$10 bilion oleh Geely di Tanjung Malim.
Tze Tzin berkata, berdasarkan perancangan semasa, jumlah keseluruhan pelaburan berkaitan pembangunan ekosistem AHTV dianggarkan mencecah RM30 bilion sehingga 2035.
Katanya, jumlah itu merangkumi pelaburan yang sudah dilaksanakan, pelaburan semasa dan pembangunan yang dirancang pada masa hadapan.
“Sehubungan itu, jumlah berkenaan perlu dilihat sebagai anggaran keseluruhan pembangunan AHTV dan bukannya jumlah pelaburan yang sudah direalisasikan sepenuhnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata AHTV turut merekodkan pertumbuhan ketara dalam penawaran peluang pekerjaan, dengan jumlah tenaga kerja meningkat daripada kira-kira 2,000 orang pada 2018 kepada 9,300 orang pada 2026.
Jumlah itu diunjurkan meningkat kepada 22,800 orang menjelang 2030.
Katanya, dari segi pembangunan ekosistem, bilangan syarikat yang beroperasi di AHTV meningkat daripada 11 syarikat pada 2022 kepada 35 syarikat pembekal komponen dan penyedia perkhidmatan logistik.
Beliau berkata, kejayaan AHTV bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah pelaburan dan kapasiti pengeluaran kenderaan, malah melalui sumbangannya kepada pembangunan industri automotif tempatan secara menyeluruh.
“Ini merangkumi peningkatan penyertaan dan keupayaan teknologi syarikat tempatan, pengukuhan rantaian bekalan domestik, pengurangan kebergantungan terhadap import komponen serta pembangunan produk dan komponen berteknologi tinggi yang berdaya saing untuk pasaran eksport.
“Sehubungan itu, pelaksanaan AHTV perlu terus memberi penekanan kepada pelaburan yang menghasilkan nilai tambah domestik, pembangunan vendor tempatan dan pengembangan eksport bagi memastikan manfaat pelaburan dapat dirasai secara meluas oleh industri dan ekonomi negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




