SINGAPURA – Singapura sedang meneliti langkah memperketat undang-undang jerebu rentas sempadannya bagi menangani kelemahan penguatkuasaan serta meningkatkan keupayaan negara itu untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran.
Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar, Grace Fu pada Selasa berkata, Singapura berdepan dua cabaran utama untuk menguatkuasakan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan iaitu mendapatkan bukti yang mencukupi dan memastikan kerjasama daripada syarikat yang beroperasi di luar negara.
Kenyataan itu dibuat ketika pemerintah memperluas siasatan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan episod jerebu semasa yang antara terburuk di Asia Tenggara dengan sekurang-kurangnya 20 syarikat di Singapura dan Indonesia telah menerima notis undang-undang di bawah akta tersebut.
Sebelum ini, Singapura mengeluarkan notis kepada 10 syarikat Indonesia di bawah Seksyen 9 akta itu yang menghendaki mereka mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kebakaran.
Bagaimanapun, tiada penalti dikenakan di bawah seksyen tersebut sekiranya syarikat gagal memberikan maklum balas.
Undang-undang itu pernah digunakan pada 2015, namun tiada syarikat yang terlibat diheret ke mahkamah atau dikenakan denda. – Agensi



