3 anak kapal Cathay Pacific ejek penumpang tidak berbahasa Inggeris dipecat

3 anak kapal Cathay Pacific ejek penumpang tidak berbahasa Inggeris dipecat

HONG KONG – Cathay Pacific Airways telah memecat tiga anak kapalnya selepas mendapat aduan mereka telah mendiskriminasi penumpang yang tidak berbahasa Inggeris.

Mereka dipecat selepas klip audio kru kabin itu mengejek penumpang menjadi viral.

Syarikat penerbangan Hong Kong melancarkan siasatan dalaman dan memohon maaf kerana menyebabkan “kebimbangan meluas”.

Media Kerajaan China mendakwa, syarikat penerbangan itu “memandang rendah rakyat China”.

Seorang penumpang dalam perjalanan dari Chengdu ke Hong Kong berkata, kru kabin mengejek penumpang yang tersilap meminta “permaidani” dan bukannya “selimut”.

Dalam klip audio itu, seorang pramugari kedengaran ketawa sambil memberitahu rakan sekerjanya: “Jika anda tidak boleh menyebut selimut dalam bahasa Inggeris, anda tidak boleh memilikinya. Permaidani terletak di atas lantai.”

Insiden itu telah mendapat banyak kritikan di media sosial di China, dengan beberapa pengguna menggesa Cathay Pacific diboikot.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee berkata, kejadian itu “menyakitkan perasaan rakan senegara di Hong Kong dan Tanah Besar”.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cathay Pacific, Ronald Lam memohon maaf atas insiden itu dan berkata beliau sendiri akan mengetuai pasukan petugas untuk menjalankan semakan ke atas disiplin syarikat itu.

Cathay Pacific mula kembali untung selepas beroperasi selepas sekatan wabak Covid-19.

Syarikat penerbangan utama itu terjejas teruk oleh peraturan kuarantin yang ketat dan penutupan sempadan, yang membawa kepada pemberhentian pekerjaan secara besar-besaran pada 2020 semasa kemuncak wabak itu. – Agensi