'Ada masa diterima, ada masa diambil balik, saya terima dengan lapang dada' – Rais Yatim

'Ada masa diterima, ada masa diambil balik, saya terima dengan lapang dada' – Rais Yatim

am@hmetro.com.my

Seremban: Pengerusi Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim menerima dengan hati terbuka keputusan penarikan dua darjah kebesaran negeri yang diterimanya lebih 40 tahun lalu.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, notis mengenai penarikan darjah kebesaran Datuk Seri Utama dan Datuk yang diterimanya daripada Istana pada hari ini disambut dengan lapang dada.

“Berita tentang penarikan bintang kehormatan Datuk Seri Utama serta Datuk Seri dari Istana Negeri Sembilan pada 30 Julai saya terima dengan lapang dada.

“Dengan falsafah hidup yang biasa, musim bertukar dan anugerah diterima. Ada masa diterima, ada masa diambil balik,” katanya menerusi video di laman sosial hari ini.

Mohd Rais berkata, kedua-dua darjah kebesaran itu diterimanya pada 1982 selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menurutnya, anugerah berkenaan dikurniakan oleh Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai menghargai khidmat beliau ketika menjadi Menteri Besar.

Beliau memohon semua pihak supaya berfikiran matang dan tidak menganggap perkara terbabit sebagai polemik semasa ketika kempen pilihan raya.

“Isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan bahan untuk menyerang mana-mana pihak. Saya anggap ia biasa kerana bukan saya saja terima nasib seperti ini,” katanya.

Mohd Rais berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Tan Sri Othman Saat juga pernah melalui pengalaman sama.

“Tidaklah ia menjadi soal dan isu besar. Anugerah diberi dan anugerah ditarik. Cuma rakyat mungkin bertanya apa sebab-musababnya,” katanya.

Rais, bekas pemimpin UMNO yang kini menjadi Pengerusi Parti Wawasan Negara, pernah berkhidmat sebagai menteri besar negeri itu selama lima tahun dari 1978 hingga 1982.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top