3 bayi baru lahir maut dalam kebakaran hospital

New Delhi: Sekurang-kurangnya tiga bayi baru lahir maut awal Isnin dalam kebakaran besar di unit rawatan rapi neonatal sebuah hospital kerajaan di negeri Maharashtra, barat India, menurut polis, lapor Xinhua.

Kebakaran berlaku di tingkat tiga hospital, dipercayai berpunca akibat litar pintas pada sebuah ventilator di Hospital Wanita di Daerah Amravati, kira-kira 651 kilometer timur laut Mumbai, ibu negeri Maharashtra.

Laporan menyatakan ketika asap dan api merebak di seluruh unit, doktor, jururawat dan kakitangan hospital lain yang bertugas segera memindahkan bayi baru lahir dari wad terjejas.

Pegawai berkata seramai 39 bayi berada di unit berkenaan ketika kebakaran berlaku, dengan 36 daripadanya berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke hospital lain susulan kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top