LATEST
National

Trump beri bayangan tak campur tangan Pilihan Raya Presiden 2028

Trump beri bayangan tak campur tangan Pilihan Raya Presiden 2028

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau mungkin tidak akan memberi sokongan kepada mana-mana calon untuk menggantikannya pada Pilihan Raya Presiden 2028.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan Trump sekali gus memberi bayangan bahawa beliau tidak campur tangan dalam persaingan itu nanti mungkin adalah pilihan lebih baik.

Pada temu bual program ’60 Minutes’ terbitan CBS, Trump ditanya sama ada beliau akan memberikan sokongan kepada bakal penggantinya kelak.

“Mungkin. Tidak semestinya,” katanya sebelum menambah: “Mungkin lebih baik saya tidak campur tangan.”

Ditanya mengenai individu dianggap berpotensi menggantikan beliau selain Naib Presiden, JD Vance pula, Trump memuji Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dengan menyifatkannya sebagai calon berkaliber.

“Saya rasa Marco seorang yang hebat. Beliau memang menyukai tugasnya dan menunjukkan prestasi sangat baik. Beliau menjalankan tugas dengan cemerlang.

“Beliau ialah antara individu yang dipertimbangkan, namun ada ramai lagi dan saya lebih suka tidak menyebut nama mereka. Ada beberapa senator yang sangat cemerlang. Saya mengenali mereka semua dan amat menyukai mereka,” katanya.

Walaupun belum pasti sama ada akan menyokong mana-mana calon, Trump menegaskan sokongannya kelak mampu memberi pengaruh besar dalam parti Republikan.

“Saya fikir ia akan memainkan peranan besar jika saya berbuat sedemikian kerana sokongan yang saya berikan selama ini ada pengaruh sangat kuat,” katanya.

Seterusnya, Trump percaya gerakan politik ‘Make America Great Again’ (MAGA) yang dipeloporinya berupaya diteruskan walaupun selepas beliau meninggalkan jawatan nanti.

Beliau juga menyuarakan keyakinan bahawa gerakan itu akan kekal relevan selepas tamat tempoh pentadbirannya kelak.

“Saya rasa begitu kerana MAGA pada asasnya berteraskan pemikiran yang waras,” katanya.

Dalam pada itu, Trump mengaitkan sebahagian punca kekalahan parti Republikan pada pilihan raya pertengahan penggal, minggu lalu, dengan ‘kelemahan penyampaian mesej’.

Beliau mendakwa bahawa sokongan rakyat terhadap pendekatannya dalam menangani perang dengan Iran, kekal ‘luar biasa’, meskipun beberapa tinjauan pendapat menunjukkan sebaliknya.

Katanya, perasaan tidak puas hati orang ramai terhadap dasar ekonominya tidak mempunyai kaitan dengan perang di Iran.

Sebaliknya, Trump menyifatkan masalah komunikasi sebagai antara kemungkinan punca prestasi buruk Republikan.

Diminta menjelaskan maksud ‘kelemahan penyampaian mesej’ itu, beliau berkata, pentadbirannya gagal menyampaikan mesej secara berkesan kepada pengundi.

“Kami gagal menyampaikan mesej itu,” katanya walaupun sebelum itu menyatakan dalam temu bual sama bahawa beliau telah mengadakan puluhan perhimpunan kempen menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

Trump turut mengkritik media dengan menuduh organisasi berita gagal ‘melaporkan berita positif mengenai parti Republikan’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news