LATEST
National

‘Selamat jalan Lexi, terima kasih atas bakti sedekad lamanya’

‘Selamat jalan Lexi, terima kasih atas bakti sedekad lamanya’

KOTA KINABALU: Selepas hampir sedekad menabur bakti dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Lexi, pergi buat selamanya, sehari selepas menyertai misi terakhirnya.

Lexi, anjing pengesan baka Labrador Retriever berusia 10 tahun itu ditemukan tidak bernyawa di kandangnya pada jam 6.15 pagi, Jumaat lalu.

Lebih menyentuh hati, sehari sebelum kematiannya, Lexi masih menjalankan tanggungjawab dengan menyertai operasi mencari orang hilang di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, 5 November lalu.

Operasi berkenaan menjadi khidmat terakhir Lexi yang berbakti bersama pasukan bomba sejak diperoleh dari United Kingdom pada 2017.

Ketua Cawangan Unit Pengesan (K9) JBPM Sabah, Calvin Joe Jeafery, berkata Lexi menyertai operasi SAR berkenaan bersama pengendalinya, Athur Anderson Walter.

Katanya, selepas operasi selesai dan kembali ke balai, Lexi menjalani rutin penjagaan seperti biasa termasuk dimandikan serta diberikan makanan.

“Lexi menghabiskan makanan diberi dan tidak menunjukkan perubahan tingkah laku selepas kembali daripada operasi berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan rutin kandang pada pagi berikutnya, anggota bertugas mendapati Lexi tidak memberi reaksi apabila dipanggil.

“Pemeriksaan lanjut mendapati Lexi sudah tidak bernyawa,” katanya.

Calvin berkata, berdasarkan rekod kesihatan, Lexi mempunyai sejarah penyakit jantung tahap dua selain ketumbuhan pada bahagian gusi.

Katanya, anjing pengesan itu turut berada dalam pemantauan veterinar dan menerima rawatan termasuk antibiotik, ubat gastrik serta ubat antiradang.

“Bagaimanapun, punca sebenar kematian Lexi belum dapat dipastikan sementara menunggu laporan bedah siasat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah,” katanya.

Sepanjang perkhidmatannya, Lexi dilatih dalam disiplin ‘SAR Wilderness’, khusus bagi membantu operasi pencarian mangsa hilang di kawasan hutan dan persekitaran mencabar.

Pemergian Lexi menamatkan hampir sembilan tahun perkhidmatannya bersama Unit K9 JBPM Sabah, dengan operasi di Menggatal menjadi catatan terakhir dalam perjalanan tugasnya.

Walaupun tidak lagi dapat menyertai operasi bersama pasukan penyelamat, khidmat Lexi sebagai anjing pengesan akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah perkhidmatan Unit K9 JBPM Sabah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news