LATEST
National

Jangan hanya bagi sokongan bila sudah menang – Aliff

Jangan hanya bagi sokongan bila sudah menang – Aliff

KUALA LUMPUR: Petarung muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib sedia beraksi pada Sukan SEA 2027, namun berharap menerima sokongan sewajarnya daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam misi memburu pingat emas di laman sendiri.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata, kesediaannya untuk kembali mewakili negara bergantung kepada bentuk sokongan diberikan, termasuk elaun bulanan bagi menampung kos latihan, pemakanan dan persiapan sebagai petarung profesional.

Aliff yang pernah menyumbang emas acara 54 kilogram (kg) pada Sukan SEA Vietnam 2021 mendedahkan dia tidak menerima sebarang elaun ketika menyertai temasya berkenaan, sebaliknya bergantung kepada usaha sendiri dan bantuan keluarga.

“Aliff memang berminat untuk bertanding di Sukan SEA Malaysia.

“Ketika di Vietnam, Aliff tidak menerima elaun tetapi tetap berusaha untuk menaikkan nama sendiri dan Malaysia. Kalau boleh, kali ini negara berilah sedikit sokongan,” kata Aliff.

Menurutnya, sokongan kerajaan amat penting kerana tempoh karier seseorang petarung tidak panjang dan peluang untuk mengumpul dana bagi menjamin masa depan juga terhad.

“Aliff mahu sokongan daripada kerajaan. Aliff tidak mahu apabila sudah menang, baru sokongan itu datang. Aliff mahu bantuan diberikan sebelum menjadi juara.

“Sekurang-kurangnya ada elaun bulanan kerana kita bertarung untuk menaikkan nama Malaysia. Duit itu digunakan untuk latihan, makan dan persiapan. Kalau dapat sokongan kerajaan, lebih kuatlah kita,” katanya.

Aliff berkata, dia juga bersedia menjalani latihan sepenuh masa di Malaysia sekiranya mendapat sokongan sewajarnya daripada MSN, termasuk kemudahan dan elaun seperti atlet negara yang lain.

Jika beraksi pada Sukan SEA 2027, Aliff menjangkakan bakal bertanding dalam kategori 57kg berbanding 54kg ketika meraih emas di Vietnam, namun tetap yakin mampu menyumbang emas kepada kontinjen negara.

Ketika ini, Aliff sedang menjalani persiapan bagi menghadapi juara dunia dari Thailand, Prajanchai Pongsuphan PK untuk merebut gelaran dunia kategori strawweight ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada 18 Disember ini.

Dia sebelum ini mencipta kejutan apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao untuk meraih gelaran dunia interim pada Julai lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news