SUNDERLAND: Sunderland keluar daripada kedudukan tercorot Liga Perdana Inggeris selepas mengejutkan Chelsea 1-0 menerusi sepakan penalti kontroversi Enzo Le Fee, sekali gus memberi kelegaan kepada pengendalinya, Regis Le Bris.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Le Bris yang sebelum ini berada dalam tekanan susulan kekalahan 2-0 di laman sendiri kepada Dinamo Zagreb dalam saingan Liga Europa, Khamis lalu.
Namun, kejayaan Sunderland mengutip tiga mata turut dibayangi dua keputusan penalti yang mencetuskan kemarahan Chelsea.
The Blues berasakan mereka sepatutnya diberikan sepakan penalti selepas Cole Palmer dikasari Luke O’Nien beberapa ketika sebelum jaringan tunggal perlawanan.
Bagaimanapun, semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati sentuhan berlaku di luar kotak penalti, sekali gus menyebabkan keputusan itu tidak boleh diubah.
Chelsea kemudian berang sekali lagi apabila Levi Colwill dihukum kerana mengasari Brian Brobbey ketika kedua-duanya berebut bola di dalam kotak penalti, 10 minit sebelum tamat babak pertama.
Le Fee menyempurnakan sepakan penalti itu untuk menewaskan Mike Penders, sekali gus menghadiahkan Sunderland kemenangan liga kedua musim ini.
Pengendali Chelsea, Xabi Alonso mengakui tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil, namun turut mengakui pasukannya melakukan kesilapan ketika mempertahankan situasi yang membawa kepada penalti Sunderland.
“Saya belum melihat insiden Cole, tetapi dimaklumkan ada kemungkinan ia layak diberikan penalti. Bagi insiden satu lagi, saya tidak gembira dengan cara kami bertahan kerana situasi itu sebenarnya boleh dielakkan,” kata Alonso.
Chelsea turut bergelut mencipta peluang apabila ketiadaan Joao Pedro di bahagian serangan menyukarkan Palmer dan Morgan Rogers untuk memberikan impak berdepan pertahanan rapat tuan rumah.
Kekalahan keempat daripada 10 perlawanan liga di bawah kendalian Alonso itu menyaksikan Chelsea kekal di tangga kelima, dua mata di belakang kelompok empat terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd