sukan@hmetro.com.my
Kuching: Beraksi selama 120 minit dengan hanya 48 jam waktu rehat serta kehilangan kira-kira tujuh pemain utama bukan alasan buat Kuching City FC mengalah.
Sebaliknya The Cats membuktikan kekuatan mental dan kedalaman skuad apabila menyingkirkan Selangor FC dengan agregat 3-2 untuk mara ke final Piala FA 2026/2027.
Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak mengakui cabaran dihadapi bukan mudah, lebih-lebih lagi pasukannya tidak mempunyai masa cukup untuk latihan penuh dan hanya menjalani pemulihan.
“Bukan mudah bermain selama 120 minit dengan hanya 48 jam waktu rehat, terutama apabila kira-kira tujuh pemain utama tidak dapat diturunkan.
“Namun, saya percaya kepada semua pemain dan malam ini mereka membuktikan bahawa mereka benar-benar layak berada di pentas final,” katanya, sidang media selepas perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Taha Ariffin pada Ahad.
Aidil turut memuji komitmen pemain yang tetap memberikan persembahan terbaik meskipun berdepan jadual padat.
Malah beliau turut menyifatkan sokongan penyokong yang membanjiri stadium dengan warna putih dan hijau sebagai pembakar semangat pasukan.
Kemenangan itu sekali gus melakar sejarah tersendiri bagi skuad The Cats untuk mara buat julung kali ke pentas final Piala FA sejak penubuhannya.
Kuching City akan membuat perhitungan terakhir berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 16 Januari depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd