JERANTUT: Pihak berwajib diminta untuk segera menebang lebih 12 batang pokok tua dan reput berusia lebih 50 tahun di sepanjang laluan perkampungan Pulau Tawar ke Bukit Nikmat di sini.
Gesaan itu berikutan kejadian dua hari lalu apabila sebatang pokok kenanga setinggi 20 meter menghempap sebuah Perodua Kancil dipandu seorang lelaki berdekatan persimpangan Jeram Muleh di laluan tersebut.
Seorang penduduk Pulau Tawar, Rozi Yaakob, 59, berkata, kejadian itu merupakan petanda awal kemungkinan perkara sama boleh berulang.
“Pokok berkenaan melebihi usia 50 tahun kebanyakan sudah reput di bahagian batang, dahan dan pangkal (perdu) kerap kali patah dan jatuh ke atas jalan raya malahan ada yang sudah condong ke arah jalan.
“Saya berharap pihak berwajib tidak perlu menunggu lama untuk menebang pokok liar berkenaan memandangkan Monsun Timur Laut sudah tentu berlaku angin kencang dan hujan lebat dikhuatiri boleh tumbang tanpa disedari mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang pengguna jalan raya, Akhtar Said, 56, berkata, dia kerap menggunakan laluan tersebut ke bandar Jerantut dan lebih berwaspada apabila melihat keadaan pokok tua di kiri kanan jalan raya lebih lagi ketika angin kencang.
“Lazimnya, di sepanjang jalan raya merentasi perkampungan banyak pokok buah-buahan tua dan pokok liar yang ditanam atau tumbuh menjangkau lebih 50 tahun perlu dipantau dan ditebang,” katanya.
Katanya, kejadian pokok kenanga tumbang menghempap kenderaan di persimpangan Jeram Muleh berdekatan Pulau Tawar mengundang kebimbangan pengguna jalan raya ketika melalui jalan Pulau Tawar ke Bukit Nikmat ke bandar berdekatan.
Ujarnya, penebangan serta pembersihan pokok tua dan reput tidak merugikan mana-mana pihak kerana tumbuhan itu tidak lagi produktif dan pokok teduhan hanya membahayakan orang ramai.-UTUSAN.
The post Tebang pokok tua, rapuh di Pulau Tawar-Bukit Nikmat appeared first on Utusan Malaysia.