LATEST

Perang mulut selesai di gelanggang tinju, ‘Superman Hew’ tumbang di tangan penganalisis politik

Perang mulut selesai di gelanggang tinju, ‘Superman Hew’ tumbang di tangan penganalisis politik

essabuyamin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pertikaian dan perang mulut di media sosial antara bekas aktivis DAP, Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ dengan penganalisis politik, Ang Wee Shan, akhirnya terlerai di gelanggang tinju.

Dalam perlawanan yang berlangsung di pusat beli-belah di sini, baru-baru ini, Wee Shan, 40, muncul pemenang selepas menewaskan Kuan Yau, 57, secara keputusan mutlak.

Aksi berdurasi 2 minit 40 saat yang tular di media sosial menampilkan Wee Shan melancarkan serangan agresif sejurus loceng permulaan dibunyikan, sekali gus menyaksikan Kuan Yau rebah beberapa kali di gelanggang.

Laporan portal mysinchew mengesahkan perlawanan yang sepatutnya berlangsung selama tiga pusingan itu terpaksa dihentikan lebih awal selepas Kuan Yau dilihat tidak lagi mampu meneruskan saingan.

Rentetan perselisihan kedua-dua pihak dilaporkan bermula ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Julai lalu.

Keadaan memuncak apabila Wee Shan mencabar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk berdebat ketika berkempen bagi calon MCA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.

Kuan Yau kemudian menyifatkan cabaran itu sekadar gimik publisiti, lalu mencabar Wee Shan bertarung di gelanggang tinju, sebelum cabaran berkenaan diterima aktivis berkenaan.

Untuk rekod, Kuan Yau bertindak keluar daripada DAP pada Julai 2016 berikutan siri kenyataan kontroversi dan didakwa berunsur perkauman yang dicetuskan beliau sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news