Genting Highlands : Sektor pelancongan dan perniagaan di Pahang bakal menerima suntikan baharu menerusi kerjasama strategik antara King’s Park Development Sdn Bhd dan Rita Synergy Holding bagi menerajui pembangunan projek bersepadu King’s Park Genting Highlands.
Kerjasama yang mendapat sokongan Kerajaan Negeri Pahang menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Pahang itu menyaksikan penekanan khusus diberikan kepada pembangunan komponen Silk Road Market dan Hab Halal bagi memikat pelancong mesra Muslim dari dalam serta luar negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Silk Road Market, Datin Rita Sosilawati, projek berkenaan bukan sekadar ruang komersial biasa, sebaliknya menjadi medan buat usahawan tempatan mempromosikan jenama dan produk gaya hidup serta makanan dan minuman (F&B) ke pasaran antarabangsa.
“Kami memberi tumpuan untuk membawa masuk jenama tempatan bagi diketengahkan di King’s Park yang bakal menjadi hab pelancongan mesra Muslim.
“Antara pasaran negara yang disasarkan termasuk Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei, sekali gus menjadikan Silk Road Market platform yang menghimpunkan pelbagai produk serantau,” katanya.
Pembangunan King’s Park Genting Highlands dilaksanakan secara berfasa di mana Fasa 1 kini sudah mencapai kemajuan 90 peratus dan dijadualkan majlis pembukaannya pada September 2027, manakala keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.
Selain Silk Road Market, projek mega itu turut merangkumi pembinaan hotel, taman tema berkonsepkan animasi popular Upin & Ipin, serta pelbagai fasiliti hiburan keluarga dengan sasaran kehadiran enam hingga 10 juta pengunjung setahun.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan, Hazirah Ibrahim berkata, inisiatif mesra Muslim itu dijangka memperkukuh kedudukan Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan holistik yang merangkumi elemen gastronomi, membeli-belah dan gaya hidup.
Turut hadir pada majlis memeterai perjanjian itu ialah Pengasas Bersama King’s Park Genting Highlands, Datuk Seri Dr Michael Yong dan Pengarah Kerjasama Strategik, Alice Yong.
© New Straits Times Press (M) Bhd