PATHUM THANI – Seorang caddy atau pembantu pemain golf di Thailand kehilangan penglihatan mata kanan secara kekal selepas terkena bola golf yang dipukul seorang pemain wanita ketika sedang bertugas di sebuah padang golf, Oktober lalu.Memetik laporan Thaiger, mangsa dikenali sebagai Joy, 32, kini mendapatkan bantuan guaman bagi menuntut pampasan selepas mendakwa pemain golf terbabit gagal menanggung sepenuhnya kos rawatan dan kerugian akibat kejadian berkenaan.Lebih mengecewakan, pemain golf itu didakwa hanya memberikan 500 baht (kira-kira RM61) kepada teman lelaki mangsa sebagai bayaran pengangkutan dan masa dihabiskan untuk menjaganya sepanjang menerima rawatan di hospital.Menurut Joy, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika dia bertugas sebagai caddy kepada sekumpulan pemain golf wanita.Katanya, seorang pemain golf lewat memulakan permainan kerana terlupa membawa beberapa barang, menyebabkan pemain lain melakukan pukulan terlebih dahulu.Bagaimanapun, ketika wanita itu melakukan pukulan pertamanya, bola golf berkenaan terkena tepat pada bahagian mata kanan Joy.Joy berkata, dia tidak menyedari kehadiran bola berkenaan sebelum terkena matanya sehingga pada mulanya gagal memahami apa yang berlaku.Seorang lagi caddy kemudian segera membantunya dengan meletakkan pek ais pada bahagian mata yang cedera bagi mengawal pendarahan.Akibat kejadian itu, Joy mengalami keretakan pada soket mata kanan dan hidung.Pemeriksaan doktor kemudian mengesahkan kecederaan dialaminya serius sehingga menyebabkan dia kehilangan penglihatan mata kanan secara kekal.Joy mendakwa pemain golf terbabit hanya datang menemuinya sebentar selepas kejadian, malah tidak melawatnya sepanjang menjalani rawatan di hospital.Kos pembedahan dan rawatan berjumlah kira-kira RM7,874, namun pemain golf berkenaan dikatakan mahu membahagikan bayaran itu sama rata dengan mangsa dan teman lelakinya.Bagaimanapun, teman lelaki Joy hanya mampu menyediakan kira-kira RM1,816, manakala baki kira-kira RM6,056 ditanggung pemain golf terbabit.Joy berkata, dia masih perlu menjalani pemeriksaan susulan dengan kos melebihi kira-kira RM121 bagi setiap kunjungan yang terpaksa dibayar menggunakan wang sendiri.Keadaan itu turut menjejaskan kehidupannya apabila dia belum dapat kembali bekerja dan kehilangan sumber pendapatan.Susulan itu, Joy bertemu peguam, Ratchapol di Nonthaburi pada 7 November lalu bagi mendapatkan bantuan guaman menjelang sesi mediasi bersama pemain golf terbabit yang dijadualkan pada 10 November ini.Ratchapol berkata, perbuatan menyebabkan kecederaan akibat kecuaian boleh dikenakan tindakan jenayah termasuk hukuman penjara dan denda.Beliau berkata, mangsa juga berhak menuntut pampasan meliputi kos rawatan, kehilangan penglihatan secara kekal, kehilangan pendapatan serta kerugian lain yang dialami akibat kejadian itu.Ratchapol bersetuju membantu Joy mengendalikan kes berkenaan bagi memastikan haknya terbela.
Caddy buta mata kanan akibat terkena bola golf