KAHERAH/ISTANBUL – Tujuh penumpang maut manakala 112 yang lain cedera selepas beberapa gerabak kereta api penumpang tergelincir daripada landasan dan terbalik di wilayah Giza, utara Mesir pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi memetik Kementerian Kesihatan.Kemalangan berlaku berhampiran Kampung Gerza di daerah Al-Ayyat, sepanjang jalan pertanian Kaherah-Aswan.Kementerian memaklumkan bahawa 72 ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi kecemasan.Menteri Kesihatan Khaled Abdel Ghaffar mengarahkan kemudahan kesihatan di seluruh Giza dan wilayah jiran, Beni Suef, meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta menyediakan rawatan kecemasan kepada mangsa yang cedera.Menurut kementerian itu, kecederaan yang dialami mangsa termasuk lebam, luka melecet dan patah tulang, manakala 45 individu telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.Kementerian turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi keadaan mangsa yang cedera serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.Sementara itu, Keretapi Kebangsaan Mesir memaklumkan bahawa kereta api No. 134 yang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum telah melanggar bahagian belakang kereta api No. 2010 yang dalam perjalanan dari Kaherah ke Aswan, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir daripada landasan. – Bernama
Tujuh maut, lebih 100 cedera dalam insiden kereta api tergelincir di Mesir