LATEST
National

Kerajaan negeri wajar peruntukkan insentif untuk pesawah – PeSAWAH

Kerajaan negeri wajar peruntukkan insentif untuk pesawah – PeSAWAH

ALOR SETAR: Kerajaan negeri didakwa masih kurang berperanan dalam menyediakan insentif kepada golongan pesawah di Kedah kerana usaha itu dilihat diserahkan kepada agensi pusat.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat memberikan insentif khas kepada golongan terbabit dalam Bajet Kedah 2027.

Katanya, Kedah menyumbang kira-kira 42 peratus bekalan beras negara.

Justeru, katanya Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sewajarnya menyediakan dana khusus bagi meringankan beban pesawah.

“Sebelum ini, kerajaan negeri ada memberi sumbangan mekanisasi, namun bantuan secara menyeluruh kepada pesawah belum ada sedangkan mereka juga mempunyai kuasa untuk membantu dan tidak mengharapkan Kerajaan Persekutuan semata-mata.

“Selangor dan Pulau Pinang ada menyediakan insentif kepada petani mereka. Terengganu yang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir setara Kedah juga mampu menyalurkan pelbagai inisiatif khas kepada pesawah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, Kedah sepatutnya mencontohi langkah proaktif Kerajaan Negeri Terengganu yang memperkenalkan insentif khas peningkatan hasil sebanyak RM100 bagi setiap tan dengan had maksimum RM1,000 bagi seorang pesawah pada tahun ini.

Katanya, Terengganu turut melaksanakan moratorium Skim Bantuan Modal Petani bernilai kira-kira RM2.9 juta bermula Mei lalu hingga April 2027 membabitkan 400 peminjam bagi mengurangkan tekanan kewangan pengusaha pertanian, selain memperuntukkan RM500,000 untuk menaik taraf sistem pengairan dan saliran sawah.

“Takkan Kedah yang ada hampir 120,000 hektar sawah di dalam dan luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tidak boleh memperuntukkan RM3 juta hingga RM4 juta khusus untuk sektor padi.

“Bajet Kedah 2027 nanti, kita harap kerajaan negeri mengumumkan bantuan bersasar seperti penyediaan pam air diesel atau elektrik bagi menghadapi kemarau, bantuan baja dan input pertanian serta kemudahan mekanisasi ladang,” katanya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi pembentangan Bajet 2027 dijangka berlangsung pada Disember ini.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news