LATEST
National

Guna petrol secara berhemat bantu kawal inflasi, lindungi kewangan

Guna petrol secara berhemat bantu kawal inflasi, lindungi kewangan

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api global perlu disokong masyarakat menerusi penggunaan bahan api secara berhemat bagi meminimumkan tekanan inflasi dan melindungi kewangan isi rumah.

Ketua Ekonomi CGS International Securities Sdn Bhd, Ahmad Nazmi Idrus, berkata mekanisme subsidi bahan api bersasar menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) berjaya mencapai matlamatnya dalam melindungi pengguna daripada kesan inflasi lebih ketara dan mengekalkan kuasa beli.

Walaupun kesan limpahan terhadap harga barangan serta perkhidmatan yang tidak dikawal kerajaan masih berterusan, impak keseluruhan setakat ini kekal terkawal berdasarkan prestasi sederhana Indeks Harga Pengguna (IHP).

“Bagaimanapun, IHP meningkat berikutan kesan limpahan yang ketara dan cabarannya adalah bagaimana kerajaan menguruskan impak ini.

“Setakat ini, pelbagai langkah dilaksanakan termasuk pengurangan cukai pendapatan individu, pemberian SARA sebanyak RM100 dan pelaksanaan gaji minimum bagi membantu mengurangkan kesan kenaikan kos,” katanya kepada Bernama.

Mengenai kesediaan Malaysia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan tenaga global, Ahmad Nazmi berkata negara sudah mempelbagaikan sumber minyak mentah dan produk petroleum bertapis bagi memperkukuh jaminan bekalan.

“Berbanding tempoh sebelum perang Amerika Syarikat (AS)-Iran pada Mac, Malaysia sudah mempelbagaikan sumber bekalan minyak mentah dan bahan api bertapis.

“Berdasarkan pengiraan kami, Malaysia kini mendapatkan bekalan minyak daripada sumber bukan tradisional termasuk Brazil, AS dan beberapa negara di rantau sub-Sahara Afrika,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan petrol secara lebih berhemat, pengurangan perjalanan yang tidak perlu dan amalan penjimatan bahan api dapat membantu menguruskan permintaan.

Langkah itu juga mampu mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan isi rumah dan ekonomi negara.

Bagaimanapun, tingkah laku pengguna sebahagian besarnya dipengaruhi harga serta insentif.

Justeru, pelarasan lanjut subsidi bahan api mungkin diperlukan untuk menguruskan permintaan sekiranya berlaku kekangan bekalan.

“Sekiranya bekalan bahan api sekali lagi menjadi isu, pendekatan terbaik adalah mengurangkan semula peruntukan subsidi. Langkah itu mungkin tidak popular, tetapi berkesan,” katanya.

Mengenai pengurusan kewangan isi rumah dalam keadaan harga tenaga global yang tidak menentu, Ahmad Nazmi menasihatkan pengguna supaya mengamalkan corak perbelanjaan lebih strategik.

Katanya, isi rumah juga perlu memperkukuh simpanan sebagai penampan kewangan dan mengurangkan beban hutang bagi menghadapi kemungkinan tekanan inflasi.

Beliau berkata, harga minyak mentah mempunyai kaitan dengan harga komoditi lain, dengan kenaikan harga bahan api sering menyebabkan kos pengangkutan, elektrik dan makanan meningkat.

Peningkatan kos itu berpotensi menjejaskan kuasa beli isi rumah dan menambah tekanan terhadap kos sara hidup secara keseluruhan.

“Dalam keadaan harga yang tidak menentu, pengguna perlu mengamalkan perbelanjaan secara strategik. Ini termasuk meningkatkan simpanan sebagai penampan kewangan, mengelak perbelanjaan yang tidak perlu dan mengurangkan beban hutang,” katanya.

Ahmad Nazmi berkata, pengurusan kewangan secara berhemat dan keutamaan terhadap perbelanjaan keperluan asas dapat membantu isi rumah membina daya tahan lebih kukuh ketika menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news