LATEST

Selesai solat Maghrib, ribut terbangkan bumbung rumah – Mangsa ribut di Sungai Besar

Selesai solat Maghrib, ribut terbangkan bumbung rumah – Mangsa ribut di Sungai Besar

am@hmetro.com.my

Sungai Besar: “Selesai solat Maghrib berjemaah bersama keluarga, saya yang mahu menunaikan solat sunat terdengar bunyi pelik disusuli dentuman kuat. Rupanya ribut menerbangkan bumbung,” kata penduduk Kampung Parit 3 Timur, di sini, Hassan Ahmad, 71, yang terjejas akibat ribut, malam tadi.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, kediaman dua tingkat lelaki warga emas terbabit rosak akibat bencana itu.

Rumah warga emas itu antara 40 kediaman terjejas susulan ribut di sekitar daerah Sabak Bernam, malam tadi.

Menurut Hassan, ketika kejadian, kesemua anaknya pulang bercuti ke kampung dan mereka sekeluarga solat berjemaah.

“Semasa ribut, saya tak benarkan ahli keluarga keluar dari rumah dan kami menunggu sehingga keadaan reda sepenuhnya.

“Disebabkan kejadian berlaku di tingkat dua, saya intai dari sebalik tangga dan mendapati bumbung (rumah) sudah tiada, manakala hujan membasahi kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui pada lawatan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak, Samad Hashim, malam tadi.

Hassan berkata, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa dan reda dengan kejadian terbabit.

Sementara itu, Samad berkata, kejadian terbabit adalah yang kedua berlaku di kampung itu, selepas kali pertama pada Khamis lalu.

Katanya, mangsa daripada empat keluarga yang terjejas dalam kejadian sebelum ini masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sebelum ini, media melaporkan kejadian ribut pada Khamis lalu, menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Sabak Bernam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news