LATEST

10 tahun di Terengganu, Faizal Ramly sedia warnai semula industri hiburan

10 tahun di Terengganu, Faizal Ramly sedia warnai semula industri hiburan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Faizal Ramly, 42, tidak pernah menganggap dirinya sebagai ‘artis terpinggir’ walaupun kurang meraih populariti sepanjang dua dekad berada dalam industri hiburan tanah air sejak 2006.

Faizal berkata, karier nyanyiannya tetap berterusan di negeri kelahirannya sebaik membuat keputusan balik menetap di Terengganu pada 2013.

“Memang saya macam ‘menyepi’, tetapi show menyanyi di sekitar Terengganu sentiasa ada. Saya menyanyi pada acara makan malam, kenduri kahwin, festival makanan dan macam-macam.

“Saya ambil apa sahaja ‘show’ yang sesuai kerana minat dan demi meneruskan kelangsungan hidup. Lagi pula, saya buat keputusan balik ke kampung di Terengganu dulu, ketika arwah emak saya masih ada.

“Saya mahu menjaga emak dan selepas emak meninggal dunia pada 2017, saya teruskan menetap di Terengganu bersama keluarga sebab sudah selesa. Lebih 10 tahun juga saya tinggal di kampung.

“Tetapi pada 2026 ini, saya fikir tiba masa menetap semula di sini (Kuala Lumpur) kerana masih menyimpan impian mahu menyerlahkan semula karier nyanyian dan saya nampak ada rezeki itu,” katanya.

Pernah popular dengan lagu Lihatlah, Smash dan Datanglah Kekasih, Faizal berkata, tiada istilah berasa ‘terpinggir’ dalam kamus hidupnya kerana sudah memahami perjalanan industri yang berliku.

“Itu semua, saya sebenarnya tidak terfikir pun soal terpinggir ke, atau tak terpinggir? Sebab saya sudah tahu industri ini macam mana. Ada kala kita berada dekat atas, ada masa kita tidak ada kerja.

“Saya sudah faham sangat pasal industri. Jadi, saya terima seadanya dan sentiasa berusaha mencari kreativiti baharu dalam hidup saya dengan terbuka membuat macam-macam kerja,” katanya.

Juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4) ini berkata, berkat usaha menyebabkan hingga kini dia masih mendapat tawaran menyanyi dan masih dikenali walaupun sangat jarang muncul di televisyen.

Katanya, pengaruh media sosial turut membantunya untuk dikenali semula dengan pembabitan membuat ‘content’ menyanyi di TikTok, termasuk mempromosi perniagaan penapis air ysng dihasilkan sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news