LATEST

PRN Melaka: Jentera BN perlu terima keputusan calon, ketepikan rasa tidak puas hati – Johari

PRN Melaka: Jentera BN perlu terima keputusan calon, ketepikan rasa tidak puas hati – Johari

am@hmetro.com.my

Melaka: Jentera Barisan Nasional (BN) diminta menerima keputusan pemilihan calon dan mengetepikan rasa tidak puas hati bagi memastikan gerak kerja parti tidak terjejas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata perbezaan pandangan berhubung pemilihan calon tidak seharusnya menjadi penghalang kepada ahli dan jentera parti untuk memberikan sokongan penuh kepada individu yang diputuskan pucuk pimpinan.

“Saya sudah menasihatkan semua jentera parti bahawa untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya ini, jentera dan ahli parti perlu mempunyai sikap positif ketika menjalankan tugas.

“Kita tidak mahu timbul rasa tidak puas hati hanya kerana calon pilihan sendiri tidak mendapat peluang untuk bertanding. Apa yang penting, kita sudah memilih calon daripada BN dan UMNO untuk menjalankan tanggungjawab ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dan Pengkalan Batu di Bilik Gerakan Utama (BGU) Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon BN bagi DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan calon BN bagi DUN Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood.

Johari berkata, kedua-dua calon berkenaan mempunyai latar belakang baik serta komitmen tinggi terhadap masyarakat, selain berpotensi menjadi pemimpin masa depan.

Beliau berkata, peluang perlu diberikan kepada pemimpin pelapis untuk membina pengalaman dan membuktikan kemampuan mereka dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

“Kalau kita tidak memberikan peluang kepada mereka, sudah tentu sukar untuk kita melatih lebih ramai pemimpin pada masa akan datang.

“Kedua-dua calon ini mempunyai latar belakang yang baik dan sangat komited kepada masyarakat. Sebab itu kita perlu memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.

Mengulas kemungkinan wujud ahli parti yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon, Johari menyifatkan perkara itu sebagai lumrah setiap kali pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau yakin perbezaan pandangan berkenaan tidak akan berpanjangan sekiranya majoriti ahli dan jentera parti mengutamakan kepentingan bersama.

“Perkara seperti ini memang biasa berlaku setiap kali pilihan raya. Tetapi kalau majoriti ahli dan jentera parti mengambil sikap positif, selalunya perkara itu akan reda dan tidak berpanjangan,” katanya.

Johari turut menyatakan keyakinan terhadap tahap kaerjasama jentera BN di kedua-dua kawasan berkenaan yang disifatkannya semakin erat.

Katanya, tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha memastikan kemenangan calon BN bagi menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news