LATEST
National

‘Kempen cara berhemah, kita masih dalam Kerajaan Perpaduan’ – Tok Mat

‘Kempen cara berhemah, kita masih dalam Kerajaan Perpaduan’ – Tok Mat

MASJID TANAH: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, menasihatkan semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, supaya berkempen secara berhemah.

Meskipun persaingan berlaku di peringkat negeri, beliau menegaskan, BN masih bekerjasama dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Kita mesti melihat kerajaan Persekutuan, kita masih berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita perlu memastikan kempen dijalankan secara berhemah kerana matlamat kita berkempen adalah untuk membentuk kerajaan.

“Kempen bukan untuk mencaci, menghina atau memburuk-burukkan pihak lawan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program ramah mesra dan sarapan bersama masyarakat Lendu di Durian Daun, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pelbagai isu yang dibangkitkan pihak tertentu dengan naratif boleh mengelirukan rakyat tidak seharusnya mematahkan semangat jentera parti untuk terus memberi penjelasan.

“Saya menasihatkan petugas dan penceramah supaya memberikan penerangan.

“Jika ada isu yang ditimbulkan atau dibangkitkan mana-mana pihak, menjadi tugas dan tanggungjawab penceramah kita untuk menerangkan serta memberikan penjelasan.

“Ini supaya pengundi, khususnya orang ramai walaupun bukan pengundi, mendapat penerangan yang jelas berhubung isu yang dibangkitkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news