LATEST

PRN Melaka: Jangan ikut rentak kempen serang, hina parti lawan – Mohamad

PRN Melaka: Jangan ikut rentak kempen serang, hina parti lawan – Mohamad

am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Tindakan parti lawan menyerang, mencaci dan menghina Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 disifatkan sebagai tabiat pembangkang yang masih diamalkan meskipun parti berkenaan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan BN pula lebih tertumpu kepada mengetengahkan manfaat yang boleh dibawa kepada rakyat berbanding memburukkan parti lawan.

“Itu memang menjadi tabiat semula jadi mereka. Walaupun sudah menjadi kerajaan, tetapi masih lagi berkelakuan seolah-olah mereka parti pembangkang.

“Sepatutnya sebagai parti kerajaan, mereka perlu menonjolkan bagaimana kerajaan sekarang, khususnya di peringkat Persekutuan, dapat memberikan keyakinan kepada rakyat mengenai apa yang mahu dilakukan, apa yang sudah dilaksanakan dan apa yang sudah dicapai.

“Tetapi DNA pembangkang itu memang tidak lekang daripada mereka,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program ramah mesra dan sarapan pagi bersama masyarakat Lendu di Durian Daun, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.

Mengulas kempen PRN yang berbaki kurang seminggu, Mohamad berharap semua pihak dapat mengamalkan pendekatan berkempen secara berhemah dan tidak terpengaruh dengan tindakan parti lawan.

“Jadi, saya harap petugas dan penceramah BN serta Perikatan Nasional (PN) tidak mengikut rentak sedemikian.

“Sejak awal, selepas penamaan calon, saya sudah mengingatkan supaya BN dan PN menjalankan kempen secara tertib.

“Kita juga perlu memujuk pengundi supaya terus bersama-sama memberikan sokongan kepada BN dan PN. Insya-Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news