am@hmetro.com.my
Dungun: Lelaki yang ditangkap penduduk Felda Kerteh 3 di sini, semalam, selepas dipercayai menipu seorang wanita warga emas di penempatan itu, direman selama empat hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, perintah reman ke atas suspek berusia 29 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Dungun, pagi tadi.
Menurutnya, isteri suspek yang berusia 29 tahun dan dipercayai turut terbabit dalam kes itu dibebaskan dengan jaminan polis kerana mengandung dan dijangka melahirkan bayi pada Jumaat ini.
“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan,” katanya ketika dihubungi.
Media melaporkan, kedua-dua suspek ditahan penduduk kampung ketika kedua-dua mereka dipercayai mahu mengambil wang tunai bernilai RM50,000 di rumah seorang warga emas yang diperdaya mereka, kira-kira jam 4 petang semalam.
Ab Halim berkata, pada 3 November lalu, mangsa dikatakan menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan memaklumkan kononnya wanita itu mempunyai tunggakan bil elektrik di sebuah premis di Kuantan.
“Panggilan kemudiannya disambung kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis, dan mangsa dimaklumkan kad pengenalannya disalahgunakan serta terbabit dalam pengubahan wang haram.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek meminta mangsa menyerahkan barang kemas untuk dijadikan bahan bukti bagi tujuan siasatan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang terpedaya kemudiannya meletakkan dua gelang emas serta seutas rantai leher di dalam peti surat rumahnya pada keesokan hari, sebelum diambil individu yang tidak dikenali.
“Semalam, dua suspek yang juga suami isteri berjaya ditahan oleh penduduk kampung ketika datang ke rumah suspek untuk mengambil wang tunai RM50,000 yang turut diminta daripada mangsa.
“Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd