LATEST

Hyper Act masih relevan, rezeki persembahan tak putus – Firman

Hyper Act masih relevan, rezeki persembahan tak putus – Firman

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Vokalis Hyper Act, Firman Bansir, 37, menyifatkan populariti kumpulan itu masih lagi bertahan, sekali gus nama juga ‘belum merudum’ meskipun tidak muncul lagu baharu selama beberapa tahun.

Firman berkata, kekuatan Hyper Act juga memang bergantung kepada lagu mereka yang menjadi pilihan kebanyakan penerbit sebagai runut bunyi atau lagu tema (OST) bagi drama dan filem.

“Hyper Act ini diketahui popular dengan lagu OST. Orang memang selalu dengar lagu kita (Hyper Act) dekat drama dan ada juga filem. Jadi, untuk lagu baharu itu, sebenarnya masih ada, dan diterima baik pendengar.

“Alhamdulillah sebenarnya, sebab kita pun tidak jangka lagu baharu seperti Pasti Terjadi, dilancarkan pada 2023 dan Termeterai (2024) diterima pendengar menerusi platform media sosial seperti TikTok. Memang sangat membantu.

“Jadi, kalau nak kata nama Hyper Act sudah ‘murudum’ itu tidaklah. Malah, kalau kita pergi buat show pun, masih orang tetap minta nak dinyanyikan lagu itu dan lagu ini. Kita layankan sahaja apa yang nak didengarkan.

“Jadi, Hyper Act tahu penerimaan itu ada dan masih baik. Apatah lagi, show Hyper Act boleh dikatakan jadual kita penuh setiap minggu. Alhamdulillah, rezeki show tidak putus,” katanya kepada Harian Metro..

Ditanya juga dia yang dilihat bertahan lama sebagai vokalis Hyper Act sejak 2017 serta dilabel ‘kesayangan’, Firman berkata, dalam berkumpulan sangat penting cara berkomunikasi antara satu sama lain.

“Saya bersama Hyper Act adalah sebagai penyanyi dan itu tanggungjawab digalas. Alhamdulillah, saya bersyukur hubungan dalam kumpulan hingga kini baik-baik sahaja.

“Saya menghormati semua anggota Hyper Act yang lain, dan kami suka berbincang. Jadi, masing-masing boleh berkongsi idea dan pandangan untuk dinilai sebelum keputusan dibuat.

“Tidak sama pendapat itu, memang ada kalanya berlaku juga. Sebab, kita manusia kan, tetapi apabila berbincang secara tenang dan baik, maka aman semula. Apa-apapun, kami semua okay,” katanya.

Selain Firman, kumpulan Hyper Act kini dianggotai empat lagu ahli lain iaitu Toy Nizam sebagai vokal kedua serta pemain bass, Freddy Ady Putra atau Beby (gitar utamal, Etan (gitar kedua) dan Ejam (pemain dram).

Ditubuhkan pada 2009, Hyper Act yang pernah popular dengan lagu Harapan, Hanya Aku dan Impian sebelum ini dianggotai Ronnie Hussien sebagai vokalis, dan kemudian diganti oleh Kecik pada 2013.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news