KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, M Jamil mendedahkan tekanan yang dihadapinya selepas bercerai dengan bekas isteri, Shahrila Markom pada 28 Oktober lalu.
M Jamil, 62, sah bercerai talak satu dengan Shahrila di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak, Selayang, selepas lapan bulan prosiding perbicaraan berlangsung.
Pelakon filem Ranjau Sepanjang Jalan itu kini tinggal bersama anak lelakinya dan hanya terbaring di atas katil berikutan kaki kirinya dipotong sehingga paras lutut akibat diabetes.
“Kemurungan terus memuncak, stress makin menjadi, nafas semakin semput, dan kesedihan terus di hati. Orang tidak faham situasi saya.
“Hanya saya melaluinya seorang diri. Apa nak jadi, mungkin ajal semakin menghampiri,” luahnya kepada Harian Metro.
Anak kepada seniwati terkenal, Datuk Sarimah Ahmad ini berkata, dia amat memerlukan bantuan kaki palsu bagi memudahkan pergerakannya di rumah.
“Nak tunggu dari hospital makan masa tiga hingga lima bulan. Saya tertekan nak bergerak untuk makan, mandi dan sebagainya memang payah.
“Saya kena kuatkan kesabaran. Allahuakbar. Kaki palsu amat penting juga kerana saya perlu hadir ke rawatan susulan di Hospital Cyberjaya dan sesi rehab selepas ini,” katanya.
Hasil perkongsian hidup selama 12 tahun antara M Jamil dan Shahrila, mereka dikurniakan dua anak perempuan, Sarimah Salma, 11, dan Laila Jamila, 9, yang kini di bawah penjagaan Shahrila.
M Jamil mengahwini Shahrila pada 24 Mei 2014 selepas kematian isteri ketiganya, Allahyarham Siti Rohani Wahid pada 2010.
M Jamil mengalami strok sejak lapan tahun lalu sehingga mengehadkan pergerakannya untuk bekerja.
Menerusi empat perkahwinannya, M Jamil mempunyai 11 anak dan ada di antara mereka menetap di luar negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd