LATEST

Berdebar setiap kali hujan, trauma banjir 2024 masih hantui penduduk

Berdebar setiap kali hujan, trauma banjir 2024 masih hantui penduduk

nfazlina@nstp.com.my

Tumpat: Pengalaman kehilangan sebahagian rumah akibat banjir pada 2024 masih menghantui seorang ibu tunggal, Noraini Nawi, 40, yang kini kembali berdebar setiap kali hujan kerana bimbang kejadian sama berulang.

Penduduk Kampung Jubakar Pantai itu berkata, meskipun hujan ketika ini masih terkawal, dia sudah membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan banjir.

“Sehingga kini saya masih terbayang suasana banjir dua tahun lalu sehingga sebahagian rumah roboh. Kini, apabila melihat cuaca hujan, saya kembali berdebar kerana bimbang situasi itu berulang,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia hanya mampu berdoa supaya banjir tahun ini tidak seteruk kejadian dua tahun lalu.

“Namun, walaupun hujan masih terkawal dan tidak selebat seperti dijangka, saya sudah membuat persiapan lebih awal.

“Segala dokumen penting dan pakaian sudah disimpan di rumah saudara yang berada di tempat tinggi kerana bimbang banjir teruk berulang.

“Saya juga sentiasa mengikuti laporan cuaca dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kami terkepung,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, sejak sebahagian kediamannya runtuh, dia masih menetap di rumah berkenaan yang juga rumah pusaka keluarga.

Bagaimanapun, dia kini menunggu proses penyerahan rumah baharu yang sudah siap dibina sebelum berpindah.

“Saya menghitung masa untuk berpindah ke rumah baharu yang sudah siap dibina dan hanya menunggu proses penyerahan dilakukan.

“Alhamdulillah, kami diberi ujian dua tahun lalu, namun kini Allah takdirkan kami rezeki untuk tinggal di rumah baharu tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sembilan jajahan di Kelantan diramal berkemungkinan dilanda banjir bermula hari ini hingga Rabu susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dalam kenyataan malam ini memaklumkan jajahan terbabit ialah Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.

Menurut PRABN, ramalan awal banjir itu dikeluarkan susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) oleh MetMalaysia pada 4.30 petang tadi, dengan kawasan titik panas banjir, kawasan rendah dan kawasan berisiko banjir dijangka terjejas.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Baru Nelayan, Ghazali Ismail, 52, yang turut kehilangan rumah akibat arus deras ketika banjir dua tahun lalu, bersyukur kerana kini dapat mendiami rumah baharu.

“Namun, bimbang kejadian sama berulang, saya dan isteri sudah membuat persiapan sepatutnya dan berharap tiada banjir besar tahun ini.

“Kejadian dua tahun lalu memang masih segar dalam ingatan kami sekeluarga apabila rumah runtuh akibat arus banjir yang deras,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news