Intipati berita
- Jakim sedang menyiasat dakwaan wujud unsur pemujaan dalam konsert The Weeknd di Bukit Jalil.
- Jakim bekerjasama dengan PUSPAL bagi menyemak kesahihan dakwaan dan pematuhan garis panduan persembahan artis luar negara.
- Patung robot wanita gergasi dan penari berjubah merah menjadi antara elemen persembahan yang mencetuskan kontroversi.
- Tindakan tegas bakal diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat pelanggaran peraturan berdasarkan undang-undang dan fakta sahih.
Konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd di Bukit Jalil minggu lalu terus menjadi perhatian apabila beberapa elemen persembahannya mencetuskan perdebatan mengenai sensitiviti agama.
Menurut laporan Kosmo, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihaknya sedang berhubung dengan agensi berkaitan bagi menyiasat dakwaan wujudnya unsur pemujaan dalam persembahan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Islam secara tegas melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah SWT.
Islam secara tegas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan selain Allah SWT.
Semua pihak perlu memastikan agar persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak dan sensitiviti agama di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Jakim bekerjasama dengan PUSPAL sahkan dakwaan
Menurut Dr. Zulkifli, Bahagian Penyelidikan Jakim kini bekerjasama dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Kerjasama itu bertujuan mengesahkan kesahihan dakwaan serta memastikan persembahan konsert The Weeknd di Bukit Jalil mematuhi segala syarat yang ditetapkan.
Malah, beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran berdasarkan undang-undang dan fakta yang sahih.
Tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan setiap persembahan artis dalam dan luar negara sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam.
Patung robot gergasi dan penari berjubah merah konsert The Weeknd jadi perhatian

Untuk rekod, konsert The Weeknd sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi susulan penggunaan elemen visual dan persembahan pentas yang dianggap sensitif oleh sebahagian penonton.
Antara yang menjadi perbualan ialah kemunculan patung robot wanita gergasi hasil rekaan artis Jepun, Hajime Sorayama.
Selain itu, penampilan sekumpulan penari yang mengenakan jubah bertudung hud berwarna merah turut mencetuskan pelbagai tafsiran.
Ada pihak mendakwa elemen tersebut mempunyai kaitan dengan ritual atau pemujaan, sekali gus mengundang perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih dalam penelitian pihak berkuasa dan belum disahkan.
The post Jakim Siasat Dakwaan Unsur Pemujaan Dalam Konsert The Weeknd? appeared first on Oh! Media.