am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Enam kes kemalangan jalan raya membabitkan tujuh kematian dicatat sepanjang tiga hari Op Selamat 19 sempena Tahun Baru Cina di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bagi tempoh berkenaan, secara keseluruhan sebanyak 852 kes direkodkan.
Menurutnya, jenis jalan bandaran mencatat jumlah kemalangan tertinggi iaitu membabitkan 438 kes.
“Kereta adalah jenis kenderaan yang paling tinggi menyumbang kepada statistik kemalangan membabitkan 589 kes diikuti motosikal sebanyak 107 kes.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan tidak membuat sebarang provokasi yang boleh membahayakan diri sendiri dan individu lain.
“Mereka seharusnya merancang perjalanan, mengikuti keadaan semasa aliran trafik di lebuh raya, kemas kini borang kempen Rumah Selamat sebelum meninggalkan kediaman serta menghubungi talian ‘hotline’ sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, tumpuan tugasan sepanjang Op Lancar dan Op Selamat yang bermula 18 Januari hingga 27 Januari adalah bagi memastikan kelancaran aliran trafik menerusi pemantauan di persimpangan, rondaan dan statik.
Menurutnya, ia membabitkan penugasan seramai 430 pegawai di 32 kawasan hitam (black spot) kemalangan dan 61 lokasi kawasan hitam kesesakan.
“Tumpuan juga akan diberikan di dua pintu masuk utama negara yang dijangka akan berlaku peningkatan bilangan kenderaan memasuki negara ini sempena Tahun Baharu Cina,” katanya menerusi siaran media hari ini.
Terdahulu, polis Johor juga menjangkakan kenderaan memasuki negeri ini dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding hari biasa iaitu kira-kira 100,000 kenderaan berulang-alik.
Kesesakan aliran trafik yang luar biasa dijangka berlaku termasuk di sempadan Johor-Singapura di Lebuh raya Linkedua, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
© New Straits Times Press (M) Bhd