3 kapal 'lolos' sekatan AS di Selat Hormuz

3 kapal 'lolos' sekatan AS di Selat Hormuz

Paris: Sekurang-kurangnya tiga kapal yang belayar dari pelabuhan Iran melintasi Selat Hormuz meskipun terdapat sekatan tentera Amerika Syarikat (AS), tetapi beberapa kapal yang mengambil laluan itu kemudian berpatah balik, menurut data penjejakan maritim pada Selasa.

Ia antara sekurang-kurangnya tujuh kapal berkaitan dengan Iran yang melalui selat itu selepas sekatan Washington berkuat kuasa pada 1400 GMT pada Isnin, menurut penyedia data maritim Kpler.

Kapal pengangkut pukal berbendera Liberia, Christianna, melintasi selat itu selepas memunggah 74,000 tan jagung di pelabuhan Bandar Imam Khomeini di Teluk, Iran, melepasi Pulau Larak Iran di selat itu kira-kira 1600 GMT pada Isnin, menurut data Kpler.

Kapal kedua, kapal tangki berbendera Kepulauan Comoro, Elpis, berada berhampiran Pulau Larak kira-kira 1100 GMT dan melepasi selat itu kira-kira 1600 GMT.

Ia dimuatkan dengan 31,000 tan metanol, setelah meninggalkan pelabuhan Bushehr di Teluk Iran pada 31 Mac, menurut data Kpler.

Penjejak sama menunjukkan bahawa kapal lain yang melintasi selat berkenaan termasuk Argo Maris, yang juga belayar dari Iran.

Penganalisis maritim memberi amaran semasa beberapa minggu konflik di sekitar selat itu bahawa isyarat kapal di rantau ini terganggu dan dimanipulasi, menjadikan pengesanan yang tepat dan komprehensif sukar.

Pasukan Iran secara efektif menutup selat itu setelah perang meletus dengan serangan AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari.

AS pada Ahad mengumumkan sekatannya sendiri setelah rundingan damai dengan Iran gagal.

Tentera AS pada Selasa menyatakan ia menghentikan enam kapal daripada belayar keluar dari pelabuhan Iran di luar Teluk selama 24 jam pertama.

“Tiada kapal yang berjaya melepasi sekatan AS dan enam kapal dagang mematuhi arahan daripada tentera AS untuk berpatah balik bagi memasuki semula pelabuhan Iran di Teluk Oman,” di luar selat itu, kata Markas Pemerintahan Pusat (CENTCOM) dalam satu catatan di X.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top