London: Rory McIlroy dijangka kehilangan sebahagian besar daripada wang kemenangan The Masters berjumlah AS$4.5 juta (RM17.7 juta) susulan cukai dikenakan keatasnya.
Pemain dari Ireland Utara berusia 36 tahun itu meraih hadiah utama terbesar dalam sejarah Masters selepas menang dengan kelebihan satu pukulan pada Ahad.
Namun, tidak semuanya akan dibawa pulang olehnya. Seorang pakar cukai menganalisis tanggungan cukai McIlroy terhadap kemenangan besar itu, dan jumlahnya sangat tinggi.
Pada akhirnya, juara enam kali kejohanan major itu dijangka kehilangan hampir separuh daripada wang kemenangan di Augusta.
Ini kerana McIlroy yang menetap di Florida akan dikenakan cukai pendapatan persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada kadar tertinggi 37 peratus serta cukai tempatan sekitar 5 peratus di Georgia, tempat kejohanan itu berlangsung.
Oleh itu, McIlroy berdepan bil cukai di Amerika Syarikat sebanyak kira-kira AS$1.5 juta (RM5.9 juta) dan memandangkan beliau juga memiliki kediaman di Wentworth tiga tahun lalu, beliau turut berkemungkinan dikenakan cukai di United Kingdom.
Pakar cukai Jon Elphick dari firma perakaunan Band berkata, “Kadar cukai persekutuan tertinggi ialah 37 peratus, manakala cukai pendapatan negeri di Georgia ialah 4.99 peratus, menjadikan jumlah cukai keseluruhan 41.99 peratus ke atas kemenangan The Masters.”
“Ini bermaksud cukai AS sehingga AS$1,511,640 (RM5,967,059 juta) perlu dibayar oleh pemenang. Bagi pemenang yang menetap di UK, mereka juga perlu membayar cukai pendapatan UK pada kadar sekitar 45 peratus, tetapi akan mendapat kredit cukai bagi mengelakkan cukai berganda.”
“Dalam kes ini, cukai UK akan dikurangkan mengikut jumlah cukai yang sudah dibayar di AS, jadi seorang pemenang dari UK akan membayar lebih AS$1,511,640 (RM5,967,059 juta) kepada IRS di AS, dan tambahan sekitar AS$108,360 (RM427,752) kepada HMRC.”
Jumlah keseluruhan cukai yang dianggarkan sebanyak AS$1.62 juta (RM6.39 juta) mewakili kira-kira 36 peratus daripada jumlah hadiah McIlroy.
Namun begitu, angka itu tidak begitu memberi kesan besar kepadanya.
Kemenangan jaket hijau kedua berturut-turut telah menaikkan jumlah pendapatan kerjaya McIlroy kepada AS$114.7 juta (RM452 juta).
Tiger Woods masih menjadi satu-satunya pemain golf yang perlu dikejar McIlroy dan pada usia 36 tahun, beliau dijangka mampu mengatasi jurang AS$6.3 juta (RM24.8 juta).
© New Straits Times Press (M) Bhd




