am@hmetro.com.my
Kota Belud: Seorang lelaki ditemui selamat selepas bot dinaiki terbalik ketika keluar memancing di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, petang tadi, manakala seorang lagi masih hilang.
Mangsa berusia 23 tahun itu ditemui orang awam kira-kira jam 9 malam sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, seorang lagi mangsa berusia 18 tahun masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elgie Bakuk ketika dihubungi mengesahkan penemuan mangsa yang dihantar ke hospital oleh orang awam.
Terdahulu, dua lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki terbalik ketika keluar memancing di perairan berkenaan.
Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, bot membawa lapan individu dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai, menyebabkan dua mangsa berusia 23 dan 18 tahun dihanyutkan arus.
Enam mangsa lain berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi sungai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




