am@hmetro.com.my
Gua Musang: Tiga lelaki yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Paloh, di sini, hari ini adalah rakan sekerja yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa adalah Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33; Nik Azmi Nik Othman, 47; dan Nik Razizi Nik Rahim, 55.
Beliau berkata, kemalangan berlaku pada 12.40 tengah hari yang membabitkan dua kenderaan, bukan tiga seperti laporan terdahulu.
“Ia berlaku apabila kenderaan serba guna (MPV) dinaiki ketiga-tiga mangsa bersama pemandu berusia 42 tahun dari arah Kota Bharu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudiannya bertembung dengan van dan disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu van tidak sempat mengelak, menyebabkan MPV terbabit berpusing dan melanggar tembok batu penghadang jalan di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu dan penumpang van serta pemandu MPV parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala mangsa maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Gua Musang di talian 099121222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




