Debrecen, Hungary: Ireland akan bermain dalam perlawanan Liga Negara-Negara menentang Israel awal pagi esok, selepas satu undian dijalankan dalam skuad berkenaan sama ada untuk meneruskan perlawanan itu atau tidak, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI), David Courell kelmarin.
Ireland sebelum ini menangguhkan sidang akhbar pra-perlawanan mereka menjelang aksi di Hungary itu, manakala sesi latihan mereka turut mengalami kelewatan.
Hal ini bagi membolehkan perbincangan diteruskan antara pemain Ireland, barisan kejurulatihan dan pegawai persatuan selepas seorang pemain yang kemudiannya didedahkan sebagai penjaga gol, Gavin Bazunu mengumumkan hasratnya untuk menarik diri daripada skuad.
“Mewakili negara saya adalah segala-galanya bagi saya. Saya amat menghormati setiap rakan pasukan saya, Pengurus, barisan stafnya, dan rakyat Ireland.
“Bagaimanapun, saya mencapai satu keputusan yang tidak diambil secara mudah. Saya seorang yang mempunyai pegangan agama yang kukuh dan cuba sedaya upaya untuk menjadi insan yang berprinsip dan berkeperibadian tinggi, justeru saya merasakan adalah salah untuk mengambil bahagian dalam perlawanan menentang Israel yang bakal berlangsung ini.
“Keputusan saya berlandaskan semata-mata pada pegangan peribadi saya bahawa pembunuhan orang awam yang tidak berdosa adalah salah. Adalah penting untuk dicatat bahawa pendirian saya ini bukanlah untuk menentang rakyat Israel atau komuniti Yahudi, sebaliknya menentang kekejaman yang berlaku di rantau terbabit,” kata Bazunu dalam satu kenyataan.
Perlawanan ini menjadi tumpuan sejak kedua-dua pasukan diundi bersama pada Februari, dengan Ireland menjadi antara pengkritik terlantang di Eropah terhadap perang Israel di Gaza.
Terdapat pelbagai protes di Ireland yang mendesak agar pasukan itu tidak meneruskan perlawanan dengan Israel.
“Pagi ini, seorang pemain menyatakan rasa kurang selesa mereka untuk memenuhi perlawanan ini kepada ketua jurulatih dan menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada skuad.
“Akhirnya, dalam tempoh kira-kira 90 minit yang lalu, kami menjalankan undian dalam kalangan skuad untuk menentukan pandangan mereka berhubung perlawanan ini dan majoriti yang signifikan mahu ia diteruskan.
“Oleh itu, berdasarkan keputusan terbabit, pihak persatuan mengambil keputusan bagi pihak bola sepak Ireland bahawa perlawanan ini akan diteruskan seperti mana yang sentiasa kami rancangkan,” kata Courell kepada wartawan.
Courell berkata perbincangan selama empat jam dalam kalangan pemain juga berlangsung pada Sabtu, yang kadangkala turut membabitkan barisan kejurulatihan dan pihak eksekutif.
Ini menyusuli mesyuarat selama dua jam pada Jumaat, apabila pemain bersetuju untuk terbang ke Hungary.
Courell itu enggan mendedahkan butiran mengenai berapa ramai pemain yang mengundi, namun mengesahkan bahawa majoriti besar menyokong untuk bermain dalam perlawanan berkenaan.
“Barisan pemain sedang menjalani latihan hari ini. Ini adalah perbincangan yang berterusan dan kami belum mencapai kata putus muktamad mengenainya.
“Perlawanan ini tetap diteruskan, kami akan berlatih dan akan ada lebih banyak perbincangan malam ini dan berkemungkinan esok. Ini adalah situasi yang unik dan kami cuba mengurangkan kesan negatif daripadanya,” kata pengurus Ireland, Heimir Hallgrimsson.
Pemain Ireland tidak akan menghadiri mana-mana sidang akhbar bagi baki jendela perlawanan antarabangsa ini.
“Dalam perbincangan semalam bersama pemain, adalah jelas bahawa mereka merasa tidak selesa dalam persekitaran ini apabila perlu berdepan dengan pelbagai soalan yang dikemukakan kepada mereka yang langsung tiada kaitan dengan bola sepak,” kata Courell.
Beliau turut menambah bahawa tiada sesi berjabat tangan pra-perlawanan dengan pasukan Israel atau pertukaran panji dan pemain berhasrat untuk memakai lilitan lengan hitam sebagai tanda memperingati semua nyawa yang terkorban dalam konflik terbabit.
Ahli FAI pada November lalu sudah mengundi agar Lembaga Pengarahnya memohon kepada UEFA untuk menggantung Israel daripada pertandingan Eropah namun usul untuk meneruskan perlawanan itu diluluskan dalam satu mesyuarat pada Julai.
Semua perlawanan tempatan Israel dijadualkan berlangsung di Debrecen, manakala Ireland sudah memindahkan perlawanan tempatan mereka yang dijadualkan pada 4 Oktober ke Serbia, yang akan dimainkan di stadium tertutup tanpa penonton.
Persatuan Bolasepak Israel (IFA) menyambut baik keputusan untuk meneruskan perlawanan pada Ahad itu dan menyatakan dalam satu kenyataan bahawa bola sepak dan politik sepatutnya dipisahkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




