Kota Bharu: Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori dan treler, yang mengorbankan tiga lelaki di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli (Batu 6), di sini, awal pagi tadi, diminta tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata orang ramai boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah atau mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat berkaitan kejadian itu.
Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 4 pagi ketika lori jenis Nissan MK36 yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah sebelum merempuh sebuah treler jenis Hino SS2V.
“Akibat kemalangan itu, pemandu lori Muhammad Zakwan Mohd Nor, 25, bersama dua penumpang, Mohd Haikal Hanifah, 29, dan Norazeman Abdul Aziz, 42, tersepit.
“Ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Haki berkata mayat dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




