Kontinjen WP sasar 180 pingat

Kontinjen WP sasar 180 pingat

Putrajaya: Kontinjen Wilayah Persekutuan (WP) menyasarkan kutipan keseluruhan 180 pingat tanpa mengira warna pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Beliau berkata sasaran itu dibuat berdasarkan perancangan dan penilaian prestasi kontinjen, selain kekuatan atlet yang dimiliki Wilayah Persekutuan.

“Saya yakin kita mampu memberi cabaran untuk menduduki kelompok tiga terbaik berdasarkan pengiraan dan perancangan yang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026 di sini hari ini.

Hannah berkata Wilayah Persekutuan mempunyai kelebihan dari segi kemudahan dan infrastruktur sukan, selain dibarisi atlet bertaraf Olimpik, Paralimpik serta bekas juara kebangsaan dan antarabangsa.

“Infrastruktur sukan di Wilayah Persekutuan juga lebih baik berbanding beberapa negeri lain dan itu satu kelebihan. Namun, saya tidak mahu atlet terlalu selesa. Saya mahu mereka membawa semangat juang itu apabila turun bertanding,” katanya.

Hannah berkata Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) kini sedang membangunkan satu papan pemuka (dashboard) bagi memetakan kemudahan sukan di Wilayah Persekutuan untuk membolehkan pembangunan atlet dirancang secara lebih tersusun.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan memastikan tiada acara sukan wanita digugurkan daripada penyertaan Wilayah Persekutuan atas faktor kekangan kewangan mulai tahun depan.

Beliau berkata perancangan bajet yang lebih teliti akan membolehkan penyertaan atlet lelaki dan wanita terus diberi keutamaan, selain memastikan aspek kebajikan atlet wanita diperkukuh.

“Bermula tahun depan, saya tidak mahu sebarang acara wanita dibuang kerana (alasan) tidak cukup bajet. Kita akan pastikan setiap kontinjen menghantar atlet wanita turut diiringi sama ada ketua kontinjen atau timbalan ketua kontinjen wanita,” katanya.

Pada majlis hari ini, Hannah menyerahkan bendera Wilayah Persekutuan kepada Ketua Kontinjen SUKMA Selangor 2026 Datuk Parang Abai @ Thomas dan Ketua Kontinjen Para Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh.

Atlet bola jaring kebangsaan Siti Nur Hidayatul Akhma Suhaimi dipilih sebagai pembawa bendera kontinjen Wilayah Persekutuan, manakala atlet renang para negara kategori S14 Duran Yaspi Iman Basori diberi penghormatan membawa bendera bagi Para SUKMA.

SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 10 Sept.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top