Bedah siasat empat kanak-kanak selesai, dikebumi dalam satu liang

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Jenazah empat kanak-kanak dalam insiden terjatuh longkang di Kulim, malam tadi, selesai menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.

Proses bedah siasat bermula jam 9 pagi tadi dan selesai jam 12.30 tengah hari tadi.

Keempat-empat jenazah akan dibawa pulang ke Kulim untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Karangan, Kulim, hari ini, dengan menggunakan empat van daripada tiga pertubuhan amal di negeri ini.

Ketua Team Bantuan Sungai Petani Muhammad Ridzuan Osman berkata, pasukannya serta Pertubuhan Sukarelawan Van Jenazah Kedah dan Van Jenazah Jerai akan menguruskan mandi, kafan serta menghantar semua jenazah secara percuma.

“Ketika ini, semua jenazah sedang dimandikan di Jabatan Forensik HSB dan akan bergerak ke Kulim selepas semuanya selesai.

“Jenazah dijangka tiba ke Kulim jam 2.30 petang ini untuk dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Karangan.

“Terdahulu, jenazah akan dibawa ke surau di sana untuk disembahyangkan,” katanya dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, empat kanak-kanak meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, Kulim, malam tadi.

Kejadian berlaku ketika mereka cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang sebelum mereka turut terjatuh.

Dua daripadanya meninggal dunia di lokasi manakala dua lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Mangsa adalah Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top