am@hmetro.com.my
Rompin: Tiga maut selepas kereta dinaiki bertembung pacuan empat roda di Jalan Bahau-Keratong, dekat Perkampungan Orang Asli Bukit Serok, Muadzam Shah, di sini, semalam, ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis kenduri kahwin.
Kemalangan jam 5.30 petang itu, meragut nyawa pemandu kereta, Aida Asmalia Abu Samah, 46, dan dua lagi penumpang, Chempaka Alara Azizi, 3, dan penuntut Kolej Matrikulasi Gambang, Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata pemandu kereta terbabit tersepit dalam kenderaan meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi mangsa menghembus nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Muadzam Shah.
Menurutnya, ketika kejadian kereta dipandu Aida Asmalia dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menghadiri kenduri kahwin di Alor Gajah, Melaka.
“Kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan serta bertembung pacuan empat roda dari arah bertentangan dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun.
“Kemalangan itu, turut menyebabkan tiga penumpang kereta dan pemandu pacuan empat roda tercedera,” katanya menerusi kenyataan media.
Mangsa cedera ialah anak pemandu kereta, Adam Wafiy Muqri Jaslihardi, 14, dan Siti Adawiya Syauqina, 13, adik kepada Siti Auni Syafiqa serta Amelia Kartika Mappatata, 32, ibu Chempaka Alara.
Semua mangsa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.
Pemandu pacuan empat roda terbabit dengan kemalangan itu turut tercedera dirawat di Hospital Muadzam Shah.
Sharif Shai berkata, semua mayat dihantar ke HTAA untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kemalangan maut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




