hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Putrajaya: Tiga maut termasuk seorang wanita hamil, manakala seorang lagi wanita hamil parah selepas Perodua Viva dinaiki terbabas berhampiran sebuah pusat membeli-belah di sini, malam tadi.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24; Nurulhuda Ramli, 41 dan Amizan Sapiie, 27, manakala seorang lagi mangsa, Nizasuhana Ujang, 28, dilaporkan cedera parah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.10 tengah malam.
Menurutnya, seramai enam anggota bersama jentera diketuai oleh Komander Operasi Sharel Mohemed digerakkan ke lokasi untuk bantuan lanjut.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Viva yang terbabas dengan sendirinya. Terdapat empat mangsa masing-masing dua lelaki dan dua wanita hamil.
“Seorang wanita hamil mengalami cedera parah dan sudah dihantar ke Hospital Putrajaya, manakala dua lelaki dan seorang lagi wanita hamil disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




