Kesihatan mental menyentuh sensitiviti agama tidak patut dikongsi umum – Yonnyboii

Kesihatan mental menyentuh sensitiviti agama tidak patut dikongsi umum – Yonnyboii

puterialia@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Meskipun mengakui dirinya tidak sempurna, penyanyi rap, Yonnyboii berpendapat isu kesihatan mental yang menyentuh sensitiviti agama tidak seharusnya dikongsi kepada tatapan orang ramai di media sosial.

Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 28, menyifatkan setiap individu mempunyai fasa pergelutan hidup yang berbeza, namun menegaskan perkara sedemikian tidak seharusnya dikongsi secara terbuka untuk tatapan umum.

Menurut pelantun lagu Sakit itu, dia memahami situasi seseorang yang boleh membuat keputusan salah ketika berada dalam keadaan tertekan.

“Hendak marah dia pun, saya pun tidak sempurna dengan rambut merah lagi. Tapi kita tidak tahu (apa yang dia lalui).

“Bagi saya, struggle (kesulitan) setiap orang lain-lain. Ada orang mungkin lagi teruk, ibu bapa meninggal dunia tetapi tetap kena teruskan hidup,” katanya ketika ditemui pada acara INFINITI (KAMI UP) nyanyiannya bersama Malique dan Kidd Santhe, baru-baru ini.

Tambah Yonny, dia mengerti perasaan terperangkap dalam fikiran negatif sehingga timbul keinginan untuk merosakkan diri sendiri, namun tindakan mencari validasi daripada masyarakat adalah satu kesilapan.

“Saya faham apa dia cakap, dia buat keputusan buruk dan tidak boleh untuk berpatah balik. Tetapi bagi saya, tidak perlu kongsi (kepada orang ramai).

“Awak tidak perlu cari validasi daripada orang untuk normalisasikan (perbuatan membuat) tatu tersebut,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Yonny turut menitipkan pesanan agar isu yang menyentuh sensitiviti agama tidak dijadikan bahan konten di media sosial.

“Kehidupan peribadi, simpanlah untuk diri sendiri. Apa-apa tentang agama itu, jangan buat main. Tuhan tahu kita buat ini dan itu sebab apa. Tak perlu kongsi (semua perkara) kepada orang ramai,” kongsinya.

Terdahulu, tular seorang pempengaruh yang

mencacah tatu di bahagian lengan tangan kirinya kerana dia mendakwa dirinya sedang melalui fasa yang sukar dalam kehidupan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top