3 suspek kes serang vokalis kumpulan muzik didakwa esok

3 suspek kes serang vokalis kumpulan muzik didakwa esok

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tiga suspek utama dalam kes pergaduhan membabitkan vokalis kumpulan muzik yang tular di media sosial, sejak Ahad lalu akan didakwa di mahkamah, esok.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya sudah mendapat arahan untuk mendakwa tiga daripada enam suspek yang ditahan sebelum ini.

“Kertas siasatan kes dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dan tindakan lanjut sudah diambil serta kita menerima arahan untuk tiga suspek dihadapkan ke Mahkamah Johor Bahru esok.

“Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama kerana menyebabkan cedera secara bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiga lagi suspek dibebaskan tanpa syarat selepas semakan lanjut terhadap pembabitan mereka dalam insiden itu.

Semalam, media melaporkan polis menahan enam lelaki susulan kes pergaduhan dekat gimnasium sebuah pusat beli-belah di sini dengan tiga lelaki berusia 24 hingga 36 tahun ditahan pada Isnin lalu, manakala tiga lagi berusia 28 hingga 40 tahun ditahan kelmarin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top