Atlanta: Bintang tengah Sepanyol, Marc Cucurella, berharap tuah luar biasa yang membantu negaranya menjulang Euro 2024 akan kembali menyinar di pentas Piala Dunia 2026 apabila beliau sekali lagi membawa ‘azimat’ istimewa milik isterinya.
Pemain Chelsea itu mendedahkan dia membawa bersama sehelai baju tidur yang pernah dipakai isterinya ketika kejayaan Sepanyol di Euro 2024 sebagai simbol tuah yang dipercayai memberi nasib baik sepanjang kejohanan berkenaan.
Cucurella berkata, dia tidak mahu meninggalkan elemen yang dianggap membawa tuah selepas kejayaan manis di pentas Eropah sebelum ini.
“Saya ada beberapa kunci rantai yang dibuat oleh anak saya.
“Saya juga bawa baju tidur isteri saya yang dia pakai ketika Euro, dan saya masukkan dalam beg sekali lagi untuk lihat sama ada ia membawa tuah yang sama,” katanya kepada Marca.
Ketika Euro 2024, Cucurella antara watak penting apabila membantu jaringan kemenangan Mikel Oyarzabal dalam aksi final menentang England.
Dia juga menikmati detik bertuah dalam aksi suku akhir menentang Jerman apabila tidak diberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangannya sebelum Sepanyol menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-119.
Amalan membawa azimat bukan sesuatu yang asing dalam dunia bola sepak, dengan bintang Argentina, Lionel Messi, pernah memakai reben merah di pergelangan kaki ketika Piala Dunia sebelum ini.
Sementara Cristiano Ronaldo pula dikatakan membawa syiling lama peninggalan datuknya sebagai simbol tuah sepanjang kariernya.
Sepanyol akan membuka kempen Kumpulan H menentang Cape Verde di Atlanta, awal pagi Isnin ini dengan harapan memulakan langkah kanan dalam misi memburu kejuaraan dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




