zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Berang: Dua beradik maut, manakala seorang lagi cedera selepas terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini hari ini.
Mayat Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya, Siti Fatimah, 13, masing-masing ditemukan pada 6.32 petang dan 6.59 petang.
Sementara mangsa yang terselamat Uzair, 17, ditemukan jam 5.17 petang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.59 petang sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai bergegas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati terdapat tiga mangsa yang tertimbus dalam tanah runtuh itu.
“Mangsa pertama iaitu lelaki berusia 17 tahun ditemukan selamat sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan.
“Mangsa kedua iaitu remaja perempuan berusia 16 tahun ditemukan jam 6.32 petang, manakala mangsa ketiga ditemukan jam 6.59 malam.
“Dua beradik yang meninggal dunia ditemukan tertimbus di bawah runtuhan tanah dan bahagian depan rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian
Hassan ‘As’ari berkata, mayat kedua-dua mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil itu diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ Kuala Terengganu bagi bedah siasat.
Katanya, operasi yang membabitkan pelbagai agensi itu ditamatkan jam 7 malam selepas dua jam operasi dijalankan.
Dalam pada itu, Hassan ‘As’ari turut menasihatkan penghuni yang tinggal berhampiran tempat kejadian untuk berpindah buat sementara bagi mengelak kejadian sama berulang, memandangkan jangkaan hujan lebat.
Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran lereng bukit di seluruh negeri juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dan memantau kawasan kediaman masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd