harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Senior Asisten Komisioner Sazalee Adam dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau yang merupakan bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi antara lima pegawai kanan dari Kontinjen Kuala Lumpur menerima kenaikan pangkat daripada Asisten Komisioner (ACP) kepada Senior Asisten Komisioner (SAC).
Selain itu, bekas Ketua Polis Daerah Sentul SAC Basri Sagoni, bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur SAC Zulkarnain Samsudin serta bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur SAC Haslah Bachok dan SAC Kamaruzaman Md Alib turut dinaikkan pangkat.
Basri dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan JSJ Bukit Aman selepas menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sejak Februari lalu.
Zulkarnain dilantik sebagai Ketua JSJ Selangor, manakala Haslah sebagai Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Bahagian Pematuhan Standard Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini dengan disaksikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.
Dalam ucapannya Fadil menegaskan kenaikan pangkat bukan sekadar pengiktirafan kepada prestasi dan dedikasi sebaliknya satu amanah yang lebih besar perlu dipikul dengan penuh integriti.
“Majlis ini juga mencerminkan kesinambungan kepimpinan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pertukaran jawatan merupakan satu proses yang penting. Ia bagi memastikan organisasi terus berkembang dengan idea, pengalaman dan pendekatan baharu tanpa menjejaskan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya hari ini.
Di majlis yang sama, ACP Kee Hang Kee dilantik sebagai Ketua JSJN Kuala Lumpur dan ACP Saefuddin @ Mohd Fitri Abdul Rahman dilantik sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas (Risikan Operasi) Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




