30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (4)

30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (4)

HIKMAH 4:

مَا نَفَعَ القَلْبَ شَيْءٌ مِثْلُ عُزْلَةٍ يَدْخُلُ بِهَا مَيْدَانَ فِكْرَةٍ

“Tiadalah manfaat terbaik bagi hati selain beruzlah. Dengannya ia akan masuk ke medan pemikiran.” 

Maksud:

1. Uzlah ialah mengasingkan diri dari makhluk. Menurut Syeikh Abdul Malik Syarnubi, uzlah dilakukan sama ada dengan jasad dan hati, mahupun hati sahaja dengan maksud jasad masih bergaul bersama makhluk.

2. Uzlah sebenar memberi ruang untuk kita berfikir mengenai kebesaran tuhan. Mengoptimumkan fungsi akal yang menjadi keistimewaan utama manusia. Anas bin Malik berkata:

“Bertafakkur 1 jam lebih baik dari ibadat 60 tahun.”

3. Imam Ahmad bin Sahl berkata: “Musuhmu ada empat:
1. Dunia; senjatanya makhluk, penjaranya uzlah.
2. Syaitan; senjatanya kenyang, penjaranya lapar.
3. Nafsu; senjatanya tidur, penjaranya berjaga.
4. Hawa; senjatanya kata-kata, penjaranya diam.”

Ibrah Ramadan:

Ramadan sepatutnya memberikan lebih ruang masa kepada manusia. Masa yang biasa diperuntukkan untuk makan dan menyediakannya sekurang-kurangnya 3 kali sehari dapat dijimatkan pada bulan ini.

Justeru gunakan ruang ini untuk beruzlah dan bertafakkur memikirkan kebesaran Allah. Menjelang 10 hari terakhir, Nabi S.A.W mengasingkan dirinya daripada keluarga untuk fokus beribadat. 

Tafakkur termasuklah amalan ibadat yang dituntut dan lebih ringan dilakukan ketika sedang berpuasa ini kerana ia tidak melibatkan pergerakan fizikal.

ALANG IBN SHUKRIMUN
4 Ramadhan 1444
26 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 27/3/2023

The post 30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (4) appeared first on HarakahDaily.