30 minit siap daftar, perbaharui kad pengenalan

30 minit siap daftar, perbaharui kad pengenalan

am@hmetro.com.my

Batu Kawan: Daftar dan perbaharui kad pengenalan dalam tempoh 30 minit mungkin dirasakan tidak masuk akal.

Namun itulah perkhidmatan ditawarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada masyarakat dan pengunjung di Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan) Faizah Jaarudin berkata, antara khidmat lain boleh didapati di reruai JPN ialah khidmat kaunter bas bergerak, Mekar JPN; semakan dan pendaftaran MyKid dan MyKad kanak-kanak usia 12 tahun; penggantian MyKad hilang dan semakan kematian serta lain-lain urusan.

Katanya, semua inisiatif itu bagi memudahkan orang ramai terutama individu yang punyai masa terhad selain sukar ke pejabat berikutan tinggal di luar bandar.

“Kaunter bergerak bagi pelbagai urusan itu didatangkan secara mobil iaitu bas Mekar (Menyemai Kasih Rakyat) sepanjang tiga hari berakhir esok.

“Kita terima hampir 500 sehari atas pelbagai urusan selain bagi mendapatkan maklumat perkhidmatan ditawarkan,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Faizah menyampaikan taklimat mengenai perkhidmatan JPN di Studio Tonton Drama Sangat.

Antara fokus taklimat itu ialah penggunaan kad pengenalan palsu yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab, yang menurutnya satu tindakan menyalahi undang-undang.

“JPN ada bahagian penyiasatan dan penguatkuasaan yang boleh buat semakan jika terdapat kad palsu digunakan seseorang individu.

“Kita juga beri kesedaran supaya tidak sewenang-wenangnya gunakan kad pengenalan palsu dan perlu dijaga dengan baik.

“Jika hilang, segera lapor kepada pihak berkuasa dan pulangkan kepada Pejabat JPN terdekat sekiranya terjumpa kad pengenalan individu lain,” katanya.

Bagi memeriahkan suasana, turut diadakan Pertandingan Karaoke JPN selain dihiburkan artis terkenal Shiha Zikir.

Pertandingan itu dimenangi pengunjung, Ayuni Ezani Harun, 20, yang membawa pulang hadiah RM300, manakala hadiah RM200 bagi pemenang tempat kedua, Ahmad Fauzi Mohd Hasaim, 45.

Sementara, Syamira Baharum, 26, pula memenangi tempat ketiga dan membawa pulang hadiah RM100.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top