Macam duduk zoo, penduduk Pos Pasik trauma gajah liar berkeliaran di laman rumah

Macam duduk zoo, penduduk Pos Pasik trauma gajah liar berkeliaran di laman rumah

am@hmetro.com.my

Gua Musang: “Sekarang kami bagaikan berada di kawasan zoo kerana seawal pagi sudah dapat lihat kelibat gajah liar berkeliaran berhampiran rumah,” kata Aznan Siam, penduduk Pos Pasik di sini.

Katanya, kehadiran gajah liar di Pos Pasik yang semakin kerap turut membuatkan penduduk tidak lena tidur pada waktu malam.

Katanya, kehadiran empat gajah liar itu turut merosakkan hasil tanaman penduduk Orang Asli di kawasan itu seperti jagung, padi serta buah durian yang gugur.

“Sudah banyak buah durian hasil tanaman penduduk dirosakkan gajah liar ini sehingga kami tidak sempat untuk menjualnya. Sebelum ini ada yang sanggup datang ke Pos Pasik hanya semata-mata untuk membeli durian, tapi tahun ini tidak dapat menjualnya.

“Selain tanaman di kebun seperti padi dan pisang, gajah liar ini turut merosakkan hasil tanam sara hidup di sekeliling rumah.

“Bukan tidak ada aduan dibuat, tapi nampaknya tidak selesai. Kami bimbang keselamatan penduduk terutama kanak-kanak,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Mohd Sani Nahtiman berkata, sejak lebih sebulan lalu penduduk terpaksa berjaga malam kerana kemunculan gajah liar terbabit.

“Di kampung ini juga masih banyak rumah buluh dan kayu serta tidak selamat untuk diduduki penduduk. Sebelum ini sudah ada rumah penduduk yang rosak gajah liar yang lalu.

“Sudah lebih sebulan penduduk terpaksa bergilir-gilir berjaga malam untuk memantau pergerakan gajah liar terbabit.

“Saya sangat merayu tindakan segera daripada pihak berwajib untuk menangani masalah ini kerana ia tidak hanya membuatkan kami terputus sumber makanan tetapi juga mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata beliau turut menerima aduan daripada penduduk kampung tentang masalah terbabit.

Katanya, aduan terhadap pihak berwajib sudah dibuat dan mengharapkan tindakan segera kerana melibatkan keselamatan penduduk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top