Putrajaya: “Ibu sudah bersedia untuk meninggalkan kamu semua.”
Itu luahan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menziarahi beliau di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur malam tadi, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.30 pagi hari ini.
Mukhriz berkata, ketika beliau melawat ibunya malam tadi, Allahyarham dalam keadaan ceria dan sedang menerima rawatan bagi penyakit lain, sejak Sabtu.
“Saya bersama beliau malam tadi (Ahad malam), ‘mood’ beliau sangat ceria, tetapi ibu ada beritahu yang beliau sudah bersedia untuk meninggalkan kami semua,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara di sini hari ini.
Mukhriz berkata, keadaan arwah ibunya bertukar kritikal selepas mengalami serangan jantung kira-kira 8 pagi tadi.
“Tanpa dijangka, pihak hospital memaklumkan arwah ibu mengalami serangan jantung kira-kira jam 8 pagi dan saya terus bergegas ke IJN.
“Pakar cuba melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum arwah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (CCU),” katanya.
Beliau berkata, pihak hospital memaklumkan CPR dilakukan selama 15 minit dan sekiranya jantung masih tidak bertindak balas, tindakan berkenaan akan dihentikan.
“Namun tepat 9.30 pagi, ibu meninggalkan kami semua,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz berkata bekas perdana menteri itu berada di IJN untuk menemani isterinya sepanjang berada di wad.
“Tun Dr Mahathir tidak sakit, beliau cuma menemani Allahyarham sepanjang berada di hospital.
“Sudah tentu beliau amat sedih mengenangkan pasangan hidupnya selama 75 tahun itu,” katanya.
Dalam pada itu, Mukhriz mewakili pihak keluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa atas ingatan tulus dan salam takziah yang dihulurkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




